PETALING JAYA: Sebanyak 10 hingga 20 syarikat bumiputera generasi baharu yang berpotensi tinggi dikenal pasti untuk dibimbing ke arah penyenaraian di Pasaran ACE dan Pasaran Utama Bursa Malaysia.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, inisiatif diterajui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) itu selaras aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Katanya, syarikat terbabit akan melalui proses pembangunan berstruktur bagi meningkatkan keupayaan perniagaan, memperkukuh tadbir urus korporat serta memenuhi keperluan penyenaraian awam.
“Langkah tersebut penting bagi merapatkan jurang penyertaan syarikat bumiputera dalam pasaran modal negara yang masih berada pada tahap membimbangkan ketika ini.
“Ini kerana, daripada 97 penyenaraian baharu dalam tempoh tiga tahun lalu, hanya satu syarikat milik majoriti bumiputera berjaya disenaraikan di Bursa Malaysia.
“Serta, hanya kira-kira tujuh peratus syarikat tersenarai di Bursa Malaysia merupakan syarikat bumiputera, sekali gus menunjukkan keperluan pendekatan lebih tersusun dan bersasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kerajaan melalui TERAJU melaksanakan empat program baharu iaitu ASCEND, ENHANCE, XCELERATE dan BSAF bagi mempercepatkan proses penskalaan syarikat berpotensi tinggi.
Katanya, program berkenaan dirangka membantu syarikat memperkukuh asas perniagaan, meningkatkan nilai komersial, menarik pelaburan swasta serta mempercepat kesiapsiagaan ke arah penyenaraian awam (IPO).
“Usaha tersebut diperkukuh menerusi memorandum kolaborasi antara TERAJU dan Bursa Malaysia bagi membimbing syarikat memenuhi syarat penyenaraian.
“Ini kerana Malaysia memerlukan lebih banyak syarikat bumiputera berdaya saing yang mampu berkembang ke peringkat serantau dan global.
“Diharapkan syarikat bumiputera berpotensi tinggi memanfaatkan platform disediakan kerana kejayaan masa depan bergantung kepada keupayaan serta daya saing perniagaan masing-masing,” katanya. – UTUSAN










