ELSA Berhad kukuh kedudukan syarikat bumiputera di pasaran modal

ELSA Berhad kukuh kedudukan syarikat bumiputera di pasaran modal

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir pada Majlis Penyenaraian ELSA Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA:  Syarikat ELSA Berhad kini telah disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia, sekali gus memperkukuh kedudukan syarikat bumiputera berpotensi tinggi dalam pasaran modal negara. 

Penyenaraian tersebut dilihat sebagai manifestasi keberkesanan ekosistem pemudahcaraan, pembiayaan strategik dan pembangunan kapasiti yang diterajui oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), di bawah Kementerian Ekonomi, dalam menyokong pertumbuhan syarikat bumiputera ke tahap lebih tinggi termasuk penskalaan dan penyenaraian awam.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berkata, penyenaraian ELSA Berhad sebagai IPO ke-32 Malaysia tahun ini merupakan cerminan jelas terhadap keyakinan berterusan pelabur kepada syarikat yang mempunyai asas perniagaan kukuh, tadbir urus yang baik dan hala tuju pertumbuhan yang meyakinkan.

“Penyenaraian ELSA Berhad bukan sekadar satu pencapaian korporat, tetapi turut membawa mesej penting bahawa syarikat bumiputera kini bukan hanya mengambil bahagian dalam ekonomi, malah semakin bersedia untuk berkembang, bersaing dan menerajui sektor bernilai tinggi.

“Seiring dengan aspirasi PuTERA35, kerajaan akan terus menyokong lebih banyak perusahaan bumiputera berpotensi tinggi untuk memperkukuh tadbir urus, meningkatkan kesiapsiagaan pelaburan dan memanfaatkan pasaran modal sebagai platform pertumbuhan jangka panjang yang mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Majlis Penyenaraian ELSA Berhad disaksikan sendiri oleh Akmal Nasrullah bersama kepimpinan Kementerian Ekonomi, Bursa Malaysia, institusi kewangan, pelabur strategik dan pemain industri.

ELSA Berhad merupakan antara 20 syarikat bumiputera generasi baharu yang dikenal pasti berpotensi tinggi dan dipersiapkan untuk penyenaraian di Pasaran ACE dan Pasaran Utama Bursa Malaysia melalui Dana Pemilikan Strategik Bumiputera (BSAF), selaras dengan aspirasi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi berkata, kejayaan ELSA Berhad memperlihatkan bagaimana ekosistem sokongan yang dibangunkan TERAJU membantu syarikat bumiputera berpotensi tinggi mempercepatkan perjalanan mereka ke pasaran modal. 

“Melalui sokongan pembiayaan strategik menerusi BSAF, TERAJU membantu syarikat bumiputera memperkukuh kapasiti perniagaan, meningkatkan daya saing serta mempercepatkan kesiapsiagaan ke arah penyenaraian awam. 

“TERAJU akan terus memperkukuh ekosistem ini bagi melahirkan lebih banyak syarikat Bumiputera yang berdaya saing, berimpak tinggi dan bersedia untuk berkembang ke peringkat seterusnya selaras dengan aspirasi PuTERA35,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN