GEORGE TOWN : Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang berjaya menahan sebuah vesel nelayan asing (VNA) dan menyita sebuah sangkar ikan yang beroperasi tanpa lesen dalam dua operasi berasingan di perairan negeri ini, semalam.
Pengarah Maritim Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, VNA itu ditahan pada kedudukan kira-kira 24.6 batu nautika ke barat daya Pulau Kendi oleh Kapal Maritim (KM) Semilang yang melakukan rondaan kira-kira pukul 2.25 petang.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati, vesel tersebut dikendalikan oleh lima kru termasuk seorang tekong itu kesemuanya warga Indonesia yang masing-masing berusia antara 23 hingga 25 tahun.
”Kesemua mereka dipercayai menjalankan aktiviti penangkapan ikan tanpa kebenaran di perairan Malaysia dan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah ketika diminta.
“Sehubungan itu, mereka disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana memasuki Malaysia tanpa pas yang sah serta Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 kerana memasuki perairan negara ini tanpa kebenaran,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, dalam operasi berasingan, beliau berkata, sebuah sangkar ikan yang disyaki beroperasi secara haram pada kedudukan kira-kira 2.2 batu nautika selatan Pulau Aman turut ditahan hasil risikan serta pemeriksaan yang dijalankan malam semalam.
Muhammad Suffi berkata, pemeriksaan mendapati pemilik sangkar ikan berkenaan gagal mempamerkan lesen sah selain menggaji tiga pekerja warga Myanmar yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
”Ketiga-tiga pekerja berusia antara 18 hingga 27 tahun itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana berada di negara ini tanpa pas yang sah.
”Sangkar ikan tersebut turut disita mengikut Seksyen 11(3)(d) Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti akuakultur tanpa lesen yang sah dikeluarkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, kesemua kru vesel, tiga pekerja sangkar ikan serta rampasan yang dianggarkan bernilai RM2 juta telah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Pulau Pinang untuk siasatan lanjut.-UTUSAN










