KUALA SELANGOR: Tiga pasar nelayan yang terletak di daerah ini iaitu di Sungai Sembilang, Sungai Yu dan Bagan Pasir kembali meriah apabila menerima kunjungan pelanggan tetap daripada pelbagai tempat seluruh Selangor.
Kemeriahan itu susulan rentas daerah dibenarkan sejak awal bulan lalu menyaksikan hujung minggu di ketiga-tiga pasar berkenaan sesak dikunjungi pengunjung yang ingin mendapatkan ikan segar.

Seorang peniaga di Pasar Nelayan Sungai Sembilang, Junaidah Sukardi, 60, memberitahu, kedainya kini kembali menjadi tumpuan pengunjung yang ingin mendapatkan makanan laut unik seperti ‘siput anak dara’.
“Empat bulan sebelum ini memang cukup perit bagi peniaga di sini apabila terlalu kurang pelanggan yang datang kerana tidak boleh rentas daerah. Malah lebih banyak hari yang tutup dan suami tidak turun ke laut memandangkan hasil tidak dapat dijual.
“Tetapi hari ini, bersyukur kerana pengunjung kembali ke sini sejak Sabtu dan Ahad pada minggu lepas, malah saya juga terpaksa mengambil bekalan daripada orang lain untuk berniaga, takut tak cukup. Tetapi yang selalu orang cari adalah ‘siput anak dara’,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Selain itu, Ismail Johari, 39, yang turut berniaga di tempat sama bersyukur apabila bekalan ikan yang dijual sentiasa habis dan tidak perlu disimpan untuk memastikan kesegarannya terpelihara bagi memenuhi keperluan pelanggan.
“Alhamdulillah, tidak lagi seperti sebelum ini banyak ikan simpan, nelayan pun tak turun ke laut sebab takut berlaku lebihan ikan. Sejak dibuka kali ini saya cuba hendak jual kerang kerana sekarang ramai yang tengah cari kerang,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Selangor, Omar Abdul Rahman, memaklumkan kemeriahan di pasar nelayan terutama di Sungai Yu agak luar biasa apabila menerima kunjungan pelanggan lebih ramai berbanding hari sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut beliau, situasi itu memberi petanda tempoh ini merupakan waktu yang baik untuk membuka lima lagi gerai untuk peniaga berniaga di sana.
“Walaupun ramai orang, tetapi prosedur operasi standard (SOP) tetap dijaga dan pelanggan dilihat tahu memainkan peranan masing-masing seperti menjaga penjarakan fizikal dan bersabar menunggu giliran untuk singgah ke gerai.
“Justeru, disebabkan peningkatan pengunjung, terdapat beberapa penambahbaikan selain pembukaan lima lagi gerai baharu seperti kemudahan tempat letak kereta dan sebagainya untuk memberi keselesaan kepada pelanggan,” ujarnya.

Sementara itu, seorang pengunjung di Pasar Nelayan Sungai Yu, Anwar Affandi, 61, dari Paya Jaras, Sungai Buloh, memberitahu sentiasa datang ke sini untuk mendapatkan ikan segar.
“Saya memang setiap minggu bawa isteri datang ke sini walaupun jauh sebab tahu ikan yang ada di pasar nelayan memang segar sebab yang menjualnya adalah nelayan juga. Harga pun berpatutan dan berbaloi untuk kami yang datang dari jauh,” katanya.

Selain itu, seorang pengunjung tetap, Zainal Abidin Marsidin, 67 yang tinggal tidak jauh dari kawasan itu berkata menjadi pelanggan tetap sejak Pasar Nelayan Sungai Yu dibuka kira-kira tiga tahun lalu.
“Saya akan datang ke sini berdua bersama isteri pada setiap hari Sabtu, Ahad dan Khamis. Tiga kali seminggu saya datang untuk dapatkan ikan segar. Kalau anak-anak balik, mereka pun akan ikut sekali ke sini,” ujarnya.
Sebelum ini, Utusan Malaysia pernah melaporkan kira-kira 1.8 tan ikan tidak terjual sekitar daerah Kuala Selangor akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membenarkan penduduk merentas daerah. – UTUSAN










