KOTA BAHRU: Pihak berkuasa digesa supaya segera melakukan siasatan berhubung dakwaan ada pemimpin dari parti politik tertentu menerima dana asing demi survival atau kelangsungan kerjaya masing-masing.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, dakwaan itu bukan baharu kerana pernah tersebar sebelum ini namun tidak dapat dipastikan kesahihannya sehingga sekarang.
Kata beliau, jika benar-benar wujud, maka ia amat membimbangkan kerana boleh membawa kepada berlakunya campur tangan asing dalam hal ehwal pentadbiran negara.
“Cerita ini sudah lama saya dengar daripada beberapa sumber, cuma tidak tahu sejauh mana kebenarannya.
“Jadi elok jika pihak berkuasa segera membuat siasatan terperinci berkait dengan dakwaan ini,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Mingguan Malaysia pada 29 Ogos lalu melaporkan ada pemimpin politik didakwa menerima bantuan dan sokongan moral individu serta organisasi luar negara seperti Amerika Syarikat (AS) demi kelangsungan karier politik mereka.
Perkara tersebut didedahkan oleh bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan, Leftenan Jeneral (B) Datuk Mohd. Salleh Ismail.
Mohd. Salleh mendakwa, berdasarkan intipan dilakukan, pemimpin-pemimpin politik berkenaan turut melakukan pertemuan dengan beberapa individu berpengaruh di luar negara.