Setiap kali musim sejuk, warna-warna klasik seperti hitam, kelabu dan biru gelap sentiasa mendominasi dunia fesyen.
Identiti itu diteruskan jenama pakaian lelaki terkemuka China, Lilanz, namun menyuntik rona tanah lembut.
Ia bertujuan memberikan nuansa hangat pada tiga siri terasnya iaitu Smart, Urban Casual dan Performance Wear.
Diinspirasikan oleh daya sofistikated dan estetika halus Eropah, koleksi ini tampil ringkas tetapi berkarakter.
Ia termasuk penggunaan motif Nordic dan Celtic serta fabrik mewah yang disesuaikan untuk keselesaan cuaca tropika.
Siri Smart menampilkan rona kelabu, hitam minimum dan perang tua yang dilapisi oleh aksen biru tenang serta karamel hangat.
Gaya ini mewakili golongan elit dalam perniagaan moden.
Kot panjang dan blazer double-breasted dihasilkan dengan garisan rapi, kolar lebar dan kelepet yang mengimbangi struktur klasik dengan gaya kontemporari.
Motif halus yang berinspirasikan Celtic merangkumi keseluruhan koleksi ini, dipercayai memberikan nasib baik dan perlindungan, menambahkan lapisan daya tarikan puitisnya.
Semua elemen ini membangkitkan visi pakaian perniagaan segak, bermatlamat dan bergaya sesuai buat golongan profesional yang berwibawa.
Bagi siri Urban Casual pula, paletnya terkawal namun menarik dengan percikan putih, hitam pekat, kelabu lembut, rona pasir dan khaki.
Ia turut diserlahkan dengan sedikit jingga terracota, dilapisi tona harmoni untuk membangkitkan ketenangan di sebalik irama kosmopolitan.
Diinspirasikan oleh daya kepekaan Scandinavia, siri ini memberikan keseimbangan antara bentuk dan fungsi, menawarkan helaian yang mudah kala bersantai.
Malah, motif fair isle turut melatari koleksi ini sebagai penghormatan kepada tradisi rajutan ikonik Scotland.
Contohnya, jacquard bertekstur dan fabrik timbul kepada rekaan quilt lembut serta siluet yang sedikit longgar.
Siri ini merakamkan daya elegan kehidupan bandar yang mudah menerusi lensa kesederhanaan yang diperhalusi.
Siluet pintar mesra pergerakan
Siri Performance Wear pula mentafsirkan semula unsur versatil untuk lelaki moden yang sentiasa aktif.
Dari bilik mesyuarat hinggalah ke pintu masuk pesawat, malah melakukan beberapa aktiviti luar yang ringan.
Konsep musim ini berakar umbi dalam rekaan penuh azam iaitu rapi, berfungsi dan selesa.
Setiap helaian menggabungkan prestasi dengan menampilkan fabrik tahan kedut, mudah dijaga dan kalis air yang boleh dibawa ke mana sahaja.
Bahkan, ia turut mengimbangi siluet pintar dengan binaan yang mesra pergerakan.
Paletnya berubah mengikut tujuan iaitu biru, hitam dan kelabu sejuk menetapkan nada tenang untuk kembara perniagaan.
Manakala rona perang tanah dan kopi, serta campuran halus jingga dan gamboj pula meningkatkan lagi daya rangkaian sukan dengan aspek kehalusan rekaannya.
Kesemua koleksi musim luruh/dingin 2025 ini boleh didapati di butik Lilanz di Pavilion Bukit Jalil pada harga antara RM230 hingga RM2,800.
Butik pertama Lilanz di Kuala Lumpur mula beroperasi pada minggu lalu dengan menampilkan konsep ‘perniagaan masa hadapan’.
Di pintu masuk, pelanggan disambut oleh paparan portal angkasa lepas futuristik,
Bilik-bilik mencuba pakaian pula berbentuk kapsul, sekali gus melengkapkan lagi naratif futurisme dan keselesaan.-UTUSAN










