PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memperingati Hari Malaysia ke-58 dengan menggesa kerajaan untuk memperkasakan usaha dalam menepati Perjanjian Malaysia 1963.
Beliau berkata, gesaan itu dibuat berikutan keprihatinan terhadap rakyat di Sabah dan Sarawak serta bagi memperkasakan perpaduan antara negeri-negeri di bawah kerajaan ketika ini.
“Kerajaan dapat meneruskan usaha-usaha untuk memenuhi semangat dan hasrat Perjanjian Malaysia 1963 yang mana beberapa pencapaian telah terhasil semasa pentadbiran saya sebagai Perdana Menteri.
“Usaha ini adalah amat penting dan bermakna kepada rakyat Sabah dan Sarawak yang pastinya akan memperkukuhkan lagi semangat perpaduan dan integrasi nasional di negara kita,” jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan asas kepada Perlembagaan Persekutuan 1963.
Muhyiddin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada seluruh rakyat Malaysia yang kini telah mencapai kadar vaksinasi yang tinggi yang juga dikata antara yang paling laju dalam dunia.
“Berkat perancangan rapi kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak awal tahun lalu, tanda-tanda pemulihan yang samar-samar sebelum ini sudah semakin jelas di hadapan mata. Paling ketara adalah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang menyaksikan kadar vaksinasi negara antara yang terpantas di dunia.
“Terkini, lebih 73.4 peratus populasi dewasa Malaysia atau lebih 17 juta individu sudah lengkap divaksin. Manakala sebanyak 91.3 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos. Ini bermakna, kita sudah semakin hampir untuk mencapai imuniti kelompok. Syabas rakyat Malaysia!” katanya. – UTUSAN










