BOSTON: Kapten Perancis, Kylian Mbappe mahu mentornya, Didier Deschamps menutup tirai karier antarabangsa dengan penuh gemilang selepas Piala Dunia 2026 dan tidak menerima sebarang tawaran untuk mengendalikan pasukan kebangsaan lain.
Mbappe mengakui dia cuba mempengaruhi perancangan masa depan Deschamps, malah menyifatkan spekulasi pengendali berusia 57 tahun itu bakal membimbing Pasukan kebangsaan Itali sebagai sesuatu yang “mengerikan”.
Perancis kini giat membuat persiapan menghadapi kempen Piala Dunia 2026 di Amerika Utara yang bakal menjadi kejohanan terakhir Deschamps selepas 14 tahun membimbing Pasukan kebangsaan Perancis.
Sepanjang tempoh itu, Deschamps mencipta pelbagai kejayaan termasuk membawa Perancis menjulang Piala Dunia 2018 serta mara ke final edisi 2022.
Walaupun bakal meninggalkan skuad kebangsaan, hala tuju seterusnya Deschamps masih menjadi tanda tanya sama ada kembali mengendalikan kelab atau menerima cabaran bersama pasukan negara lain.
Namun, Mbappe tidak mahu melihat jurulatih yang banyak membentuk kariernya itu berada di bangku lawan.
“Cara terbaik untuk menghargainya ialah dengan menang kerana dia sangat sukakan kemenangan.
“Kami akan cuba memastikan dia mendapat penamat terbaik dalam Piala Dunia. Saya harap ini benar-benar kejohanan terakhirnya kerana saya tidak mahu dia mengendalikan pasukan lain,” katanya kepada M6.
Penyerang Real Madrid itu turut berseloroh bahawa dia sedang memberi tekanan kepada Deschamps supaya tidak mengubah keputusan untuk bersara.
“Saya sedang memberikan tekanan kepadanya,” katanya sambil ketawa.
Deschamps sebelum ini sering dikaitkan dengan jawatan jurulatih Itali susulan hubungan eratnya dengan negara itu selepas pernah beraksi dan melatih Juventus.
Dengan Itali berusaha membina semula kekuatan selepas beberapa tahun yang sukar, Deschamps dilihat sebagai calon ideal untuk membimbing juara dunia empat kali itu.
Namun, Mbappe tetap dengan pendiriannya.
“Mereka mengaitkan Deschamps dengan Itali, itu akan jadi sesuatu yang mengerikan,” katanya.
Perancis akan membuka kempen Kumpulan I menentang Pasukan kebangsaan Senegal pada 16 Jun sebelum berdepan Pasukan kebangsaan Iraq pada 22 Jun dan menamatkan aksi kumpulan menentang Pasukan kebangsaan Norway empat hari kemudian. – AGENSI










