PETALING JAYA: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad (Koperasi Sahabat) dan Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) antara koperasi bersaiz besar yang melaksanakan Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) secara dalam talian bagi tahun 2021.
Pengarah Bahagian Statutori dan Pendaftaran SKM, Norhayati Ahmad Zainuri berkata kemampuan koperasi mengadakan MAT dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 telah menjadikan koperasi itu hebat dalam mengadaptasi situasi semasa.
MAT yang dianjurkan secara hybrid atau virtual adalah demi kepentingan anggotanya sekali gus memastikan pematuhan perundangan koperasi dan memenuhi kehendak stakeholder.
“Wajar untuk koperasi mengadakan MAT malah mengamalkan norma baharu dalam pengurusan koperasi termasuk mengadakan mesyuarat secara maya menggunakan pelbagai aplikasi mesyuarat atas talian.
“Arahan turut dikeluarkan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi berkuat kuasa 31 Mac 2021 berkenaan pematuhan Tatacara Pelaksanaan MAT Koperasi Semasa Penularan Pandemik COVID-19 yang dikeluarkan SKM,” katanya dalam satu sesi temuramah secara dalam talian.
Tambahnya, tatacara ini menjadi rujukan asas kepada koperasi untuk mengadaptasi kaedah baharu mengadakan mesyuarat agung secara maya sebagai alternatif kepada koperasi untuk mengadakan MAT secara fizikal.
Norhayati mahu pelaksanaan itu dijadikan contoh kepada koperasi yang bersaiz kecil selepas melihat kemampuan koperasi bersaiz besar menganjurkan mesyuarat agung secara dalam talian.
“Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad dengan kekuatan 150,000 anggota dan Koperasi Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia Berhad mempunyai lebih 200,000 anggota berjaya mengadakan MAT pada 27 Jun 2021 dan 26 Ogos 2021 dengan kuorum bersesuaian masing-masing.
“Jadi, koperasi dinasihatkan untuk tidak menjadikan penularan pandemik Covid-19 dan PKP 3.0 sebagai alasan untuk tidak mengadakan mesyuarat agung,” katanya.
Kata Norhayati, dari aspek perundangan, keputusan dalam mesyuarat yang diadakan secara atas talian diterima pakai atau menjadi kesepakatan secara bersama dipersetujui anggota koperasi yang hadir dalam mesyuarat itu.
“Kaedah pengundian boleh ditentukan oleh koperasi sebelum mesyuarat agung khususnya mesyuarat yang diadakan secara atas talian. Pengundian secara elektronik dianggap lebih praktikal kerana sekiranya dicabar keputusan pengundian, koperasi boleh mengemukakan jejak audit (audit trail) sebagai bukti.
“Selain itu, rakaman perjalanan mesyuarat agung hendaklah disimpan sebagai rekod agar sekiranya terdapat sebarang pertikaian, boleh ditangani dengan sebaiknya,” ujarnya. – UTUSAN