ALOR GAJAH: Di sebalik deretan reban di sebuah ladang kecil, tersimpan kisah cekal seorang wanita yang bermula hanya dengan minat dan keperluan sendiri, sebelum bangkit menjadi antara penternak ayam kampung saga yang berjaya.
Suhaiti Ariffin, 53, dari Kampung Gadek dekat sini berkata, segalanya bermula kira-kira sedekad lalu apabila dia bersama lima rakannya sekadar mencuba membela ayam kampung untuk kegunaan sendiri ketika harga ayam meningkat di pasaran.
Dia bermula dengan 500 ekor dan reban kecil di belakang rumah yang mana usaha itu dilakukan sederhana tanpa jangkaan besar.
Katanya, dia mengikuti kursus Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) yang memperkenalkan baka ayam kampung premium atau ayam kampung saga untuk memperkasa sosioekonomi penduduk.
“Pada masa itu, kami hanya mahu pastikan ada bekalan ayam untuk makan sendiri. Tidak sangka pula ia berkembang sejauh ini.
“Ladang saya kini mampu menampung lebih 2,000 ekor ayam bagi setiap pusingan dengan kemudahan beberapa reban termasuk sebuah reban utama berskala besar,” katanya ketika ditemui.
Suhaiti berkata, usaha itu akhirnya membuka peluang lebih besar apabila dia terpilih menyertai program pembangunan ayam kampung saga di bawah bimbingan MARDI.
Katanya, ayam kampung saga mendapat permintaan tinggi kerana tempoh pembesarannya lebih singkat iaitu sekitar tiga bulan, selain saiz yang boleh mencecah sehingga dua kilogram.
Ujarnya, sejak detik itu dia memperbesarkan operasi penternakan secara lebih tersusun dan komersial.
Katanya, selain menjual ayam hidup pada harga RM17 sekilogram dan ayam yang telah diproses sekitar RM23 sekilogram, dia turut mempelbagaikan produk bagi meningkatkan nilai pasaran.
“Antara produk yang dihasilkan termasuk ayam salai, ayam sejuk beku serta telur ayam kampung,” ujarnya. – UTUSAN










