KUALA LUMPUR: Pelakon, Hariz Hamdan menitipkan doa agar sahabatnya yang juga aktivis kemanusiaan, Hazwani Helmi, terus kuat menghadapi kecaman susulan keputusannya menyertai Global Sumud Flotilla 2.0.
Menurut Hariz atau Muhammad Hariz Muhammad Hamdan, 25, setiap individu berhak memberikan pandangan, namun hanya Allah SWT yang mengetahui niat sebenar seseorang, termasuk Hazwani.
“Saya faham ada yang setuju dan ada juga yang tidak dengan keputusannya. Sebagai kawan, saya hanya mampu menasihati dia supaya terus kuat dan lakukan apa yang dirasakan betul.
“Apa sahaja yang diperkatakan orang luar, ambillah sebagai iktibar. Niat untuk membantu, contohnya di Gaza, adalah urusan Tuhan.
“Bagi saya, selagi niat itu baik, teruskan sahaja,” katanya.
Hariz ditemui Utusan Malaysia pada majlis Macam-Macam Raya Bersama Rocketfuel Entertainment, di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hariz tidak menafikan masih ada peminat yang berharap hubungan mereka berakhir ke fasa lebih serius. Namun, beliau menegaskan hubungan mereka kekal sebagai rakan dan masih menjaga batas, termasuk tidak berhubung secara peribadi.
“Hubungan kami masih sebagai kawan dan kami tidak berhubung secara peribadi. Cuma ketika hari lahirnya, saya ada titipkan nota yang juga pernah dikongsikan di TikTok.
“Dalam nota itu, saya ucapkan selamat hari lahir dan mendoakan yang terbaik buat dirinya,” katanya.
Mengulas mengenai perkongsiannya di Threads tentang ciri-ciri wanita idaman yang tular sebelum ini, Hariz menjelaskan ia tidak ditujukan kepada mana-mana individu.
“Apa yang saya kongsi itu bersifat umum. Jika ada yang mengaitkannya dengan Hazwani, itu hanyalah tanggapan mereka.
“Bagi saya, ia tidak ditujukan kepada sesiapa. Biarlah orang tertanya-tanya,” ujarnya.
Terdahulu, Hariz memuat naik kriteria wanita idamannya di Threads, antaranya mempunyai keperibadian baik, berkarakter kuat serta menjaga hubungan dengan Tuhan, sekali gus mencetuskan spekulasi dalam kalangan peminat yang mengaitkannya dengan Hazwani. -UTUSAN










