Rezeki kayu hanyut - Utusan Malaysia

Rezeki kayu hanyut

FAIZAL Daud memungut dan menyusun kayu-kayu yang hanyut untuk dijadikan perabot di tebing Sungai Tebrau di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kayu yang hanyut di sungai jangan disangka tidak berguna kerana jika kreatif dan berpandangan jauh, ia boleh mendatangkan hasil yang lumayan.

Itu yang dilihat seorang juruelektrik, Faizal Daud, 46, yang menjadikan kayu-kayu hanyut di sungai sebagai barangan perhiasan berbekalkan pengalamannya lebih 20 tahun dalam bidang pertukangan kayu.

“Selalunya saya akan ke Sungai Tebrau setiap pagi selepas waktu Subuh untuk mencari kayu-kayu yang hanyut sebelum dijadikan pelbagai jenis perabot dan barangan perhiasan.

“Setiap hari ada sahaja kayu-kayu yang hanyut dan terdampar di tebing sungai terutama ketika air mulai surut, maka saya akan menarik dan meletakkan di tepi,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.

 

FAIZAL Daud membuat kerusi daripada kayu-kayu yang hanyut di Sungai Tebrau di Johor Bahru, Johor. -UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

Menurut Faizal, kedudukan rumahnya di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bayu Puteri yang tidak jauh dari sungai memudahkan tugasnya untuk mencari kayu tersebut di Jeti Nelayan Kampung Bakar Batu.

Ujarnya, antara kayu-kayu yang hanyut adalah kayu jenis sabun, kayu bakau, kayu hutan dan palembang yang semakin lama terendam dalam air masin akan semakin menguatkan struktur kayu itu.

Tambahnya, disebabkan kontrak kerja-kerja pendawaian elektrik tidak banyak diterimanya sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Pelan Pemulihan Negara (PPN), maka kayu tersebut menjadi pendapatan alternatifnya sejak dua bulan lalu.

“Saya lakukan ini demi mencari rezeki bagi menampung perbelanjaan keluarga terutama anak sulung yang akan melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai tidak lama lagi.

“Walaupun baru dua bulan sebagai pencari kayu hanyut saya menerima banyak tempahan daripada orang ramai terutama untuk membuat kerusi dan meja perhiasan,” katanya yang mengenakan bayaran antara RM150 hingga RM300 bergantung pada saiz.

Bagi memudahkan kerja-kerjanya, bapa kepada dua anak itu berharap dapat membeli set mesin gergaji dan generator yang boleh mempercepat proses memotong kayu.

Orang ramai yang ingin membuat tempahan perabot dari kayu-kayu hanyut itu boleh menghubungi Faizal secara WhatsApp di nombor 011-2775 1892. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN