Rentas negeri beberapa minggu lagi - PM - Utusan Malaysia

Rentas negeri beberapa minggu lagi – PM

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Perdana Menteri membayangkan kelonggaran rentas negeri boleh dinikmati rakyat dalam masa beberapa minggu lagi.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia berdasarkan pencapaian memberansangkan kadar vaksinasi telah mencecah sebanyak 81 peratus populasi dewasa lengkap imunisasi melibatkan 18.9 juta individu pada Rabu lalu.

Kata beliau, justeru, sasaran 90 peratus vaksinasi sebagai syarat untuk membenarkan pergerakan rakyat sebagaimana diumumkan sebelum ini mampu dicapai sedikit masa lagi.

“Jumlah 81 peratus (vaksinasi) sudah dicapai pada Rabu lepas, dan saya sudah umumkan ini yang ditunggu-tunggu rentas negeri apabila mencapai 90 peratus penduduk yang divaksin.

“Kalau Rabu dan 81 peratus, maknanya dah tak lama dah tu nak rentas negeri. Jadi bolehlah balik kampung, jumpa ibu bapa, saya difahamkan sudah setahun tak berpeluang untuk jumpa ibu bapa.

“Insya-Allah sabar dulu beberapa minggu lagi saya percaya 90 peratus dapat dicapai dan kelonggaran diberi untuk rentas negeri,” katanya ketika berucap dalam majlis pelancaran Rumah Ikram Keluarga Malaysia, di sini hari ini.

Pada 22 September lalu, Perdana Menteri mengumumkan, pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang dibuat Kementerian Kesihatan.

Beliau berkata, perkara itu adalah ketetapan lain seperti diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19. – UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN