KUALA TERENGGANU: Seramai enam individu termasuk seorang wanita dikompaun sebanyak RM5,000 setiap seorang atas kesalahan merentas negeri, gara-gara bercuti di Pulau Redang.
Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, kesemua individu dari Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Melaka yang berusia antara 32 tahun hingga 47 tahun itu didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) semata-mata bagi tujuan melancong.
Katanya, kesalahan tersebut dikesan dalam operasi bersepadu dua hari berakhir semalam membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, pegawai kesihatan dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di pulau peranginan berkenaan.
“Operasi pematuhan SOP diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada sebarang pelanggaran garis panduan sekali gus dapat mengelak peningkatan jangkitan dan penularan Covid-19 di negeri ini.
“Tindakan keras juga diambil terhadap mana-mana pengusaha resort yang membenarkan pengunjung dari negeri luar menginap bagi tujuan melancong di samping lalai memastikan pelanggan lengkap menerima dua dos vaksinasi,” katanya dalam kenyataan di sini malam tadi.
Sehubungan itu, Rohaimi menasihatkan orang ramai agar mengikuti perkembangan terkini SOP bagi fasa-fasa PPN sekali gus mengutamakan pelancong yang lengkap divaksin. – UTUSAN ONLINE