Fantasi media jadi tragedi remaja

Fantasi media jadi tragedi remaja

PLATFORM digital wajar dipertanggungjawabkan terhadap kesejahteraan mental pengguna.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NEGARA baru-baru ini digemparkan dengan insiden tragis apabila seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun menikam rakan perempuan berumur 16 tahun. Kes yang memilukan ini membuka tirai kepada persoalan lebih besar, apakah yang sedang berlaku dalam dunia emosi remaja kita? 

Kita kini hidup dalam era garis pemisah antara realiti dan dunia digital semakin pudar. Laporan Digital 2025 oleh DataReportal menunjukkan remaja Malaysia berusia 13 hingga 17 tahun menghabiskan purata enam jam sehari di media sosial

TikTok, YouTube dan platform lain menjadi ‘pendidik senyap’ yang membentuk pemahaman mereka tentang kasih sayang, konflik dan penyelesaian masalah. Malangnya, kandungan yang sering mendapat perhatian remaja sarat dengan naratif cinta obsesif, kecemburuan melampau dan glorifikasi kekerasan.

Teori Desensitisasi oleh George Gerbner menjelaskan pendedahan berulang terhadap keganasan menjadikan seseorang semakin tidak sensitif terhadap penderitaan orang lain. 

Apabila tindakan ekstrem seperti cemburu, balas dendam dan keganasan digambarkan sebagai normal atau romantik dalam drama, anime atau permainan video, menyebabkan remaja mula menganggap tingkah laku itu wajar. 

Kajian juga mendapati remaja yang kerap menonton kandungan agresif mempunyai 31 peratus risiko lebih tinggi untuk menunjukkan tingkah laku ganas berbanding mereka yang hanya menonton kandungan neutral.

Namun, teori ini hanya menyentuh permukaan. Melalui lensa Teori Ekologi Media oleh Marshall McLuhan, kita melihat isu yang lebih mendalam yang mana media tidak sekadar menyampaikan mesej tetapi membentuk cara manusia berfikir dan menafsir realiti. 

Dalam ekosistem digital hari ini, remaja bukan hanya menonton media sebaliknya mereka dibentuk olehnya. Algoritma menentukan apa yang mereka lihat, fikirkan dan rasakan. Emosi yang sepatutnya berkembang melalui interaksi manusia kini diprogram melalui kemahuan platform yang mengejar keuntungan penglibatan.

Fenomena seperti budaya ‘shipping’ atau ‘kinning’ di TikTok memperlihatkan bagaimana remaja membina identiti berdasarkan watak fiksyen. Hubungan yang tidak wujud di dunia nyata menjadi sumber kepuasan emosi. Dari sinilah wujud tindakan tragis, bukan kerana individu itu jahat tetapi kerana ekologi emosi mereka dibentuk oleh dunia yang tidak nyata.

Di Malaysia, gejala ini semakin ketara. Kajian  Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) (2024) mendapati 48 peratus remaja mengalami tekanan emosi akibat paparan digital berlebihan. Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) (2023) pula melaporkan 60 peratus remaja mengalami simptom depresi ringan hingga sederhana yang berkaitan dengan ‘kelesuan media sosial’ akibat kitaran dopamin daripada tanda ‘suka’, jumlah tontonan dan pengiktirafan maya.

Masalahnya bukan sahaja pada kandungan tetapi kegagalan membekalkan literasi media yang kukuh. Tanpa kemampuan menilai mesej media, remaja mudah terperangkap dalam kekeliruan antara kreativiti dan realiti.

Finland dan Korea Selatan menjadikan literasi media sebagai komponen wajib pendidikan tetapi di Malaysia, usaha ini masih bersifat kempen sementara dan belum membentuk kemahiran sebenar.

Ibu bapa juga memainkan peranan penting. Kita sering melihat anak diam dengan telefon sebagai tanda anak baik, sedangkan itu mungkin tanda kesunyian. Apabila dunia digital menjadi ibu bapa kedua, tanggungjawab pendidikan emosi teralih kepada algoritma yang tidak mengenal nilai moral.

Kerajaan perlu melangkah lebih jauh dengan membina dasar literasi media digital yang progresif, memantau algoritma platform dan menilai impak psikologi kandungan terhadap pengguna muda. 

Seperti mana makanan perlu piawaian keselamatan, platform digital juga wajar dipertanggungjawabkan terhadap kesejahteraan mental pengguna.

Akhirnya, tragedi ini bukan sekadar kisah seorang remaja yang gagal l mengawal diri tetapi tentang masyarakat yang gagal membina sistem kawalan nilai dalam dunia tanpa sempadan. -UTUSAN

 NURUL HAWA UMAIRAH BINTI FAIZAL & NURUL NISHA MOHD SHAH
Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media,
Universiti Teknologi Mara  (UiTM) Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Rembau

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×