DI kala sedang menjalani rutin harian sambil melayari media sosial yang kononnya ‘sekadar tengok’, saya tiba-tiba berhenti lama pada satu koleksi yang menarik perhatian.
Mungkin juga sebab kita bakal melangkah ke tahun baharu dan fasa set semula hidup, maka almari pakaian pun rasa hendak mula dengan cerita baharu.
Minggu ini, kita lihat koleksi Monogram Collection daripada jenama Hanya Suri yang terasa begitu segar untuk wanita yang suka bergaya dengan yakin, tanpa perlu terlalu berusaha.
Yakin, kemas dan terkini. Monogram asterisk ikonik bersama signature grid design ini membawa nuansa muda yang matang.
Ia ceria tetapi kemas, berani namun tetap sopan. Warna-warnanya hidup, coraknya tersusun dan keseluruhan koleksi ini seolah-olah bercakap tentang wanita yang tahu apa dia mahu dan tidak takut jadi diri sendiri.
Ini bukan tudung yang pakai sekali selepas itu simpan. Ini tudung yang pasti membuatkan orang pandang dan tersenyum.
Dihasilkan daripada satin sutera matte yang lembut dan mewah, skaf segi empat bidang 48 ini memang paling senang untuk digayakan.
Senang dibentuk, jatuh cantik, tidak licin dan cukup versatil untuk main gaya ikut mood.
Tudung ini bila pakai, orang akan cakap “Eh cantiknya tudung awak” walaupun dalam persalinan biasa-biasa sahaja.
Menariknya, koleksi ini juga hadir dalam fabrik kapas voile untuk hari-hari yang perlukan keselesaan maksimum.
Ringan, bernafas dan sangat sesuai untuk cuaca Malaysia yang kadang-kadang panas, kadang-kadang lembap malah kadangkala dua-dua sekali.
Pilih ikut mood, ikut hari, ikut versi diri yang anda rasa hari itu.
Bagi Monogram Pink Hanya Suri, ia memang jenis yang suka mencuri perhatian. Dipadankan dengan persalinan serba putih, sama ada kurung moden atau blaus minimal, tudung ini terus naikkan keseluruhan penampilan.
Putih beri ruang manakala monogram rona merah jambu mencuri perhatian.
Nampak bersih dan mahal tanpa perlu fikir panjang.
Kalau hari itu mood santai, jeans pun boleh jadi kanvas yang cantik.
Bayangkan kemeja putih atau nude, seluar jeans kegemaran, kasut rata dan tudung Monogram Pink ini digayakan ringkas.
Terus nampak segar dan muda. Macam gaya “aku tidak cuba sangat, tetapi tetap nampak cantik”.
Kalau anda jenis yang percaya less is more, tudung ini pasti sahabat baik anda.
Persalinan polos, warna neutral dan penggayaan ringkas. Biarkan tudung bercakap. Kadang-kadang keyakinan paling kuat datang apabila kita tahu bila mahu berhenti tambah benda.
Koleksi ini pasti akan membuatkan anda rasa sedikit lebih berani, sedikit lebih yakin dan sangat selesa dengan diri sendiri.
Suri Monogram bukan sekadar corak atau warna. Ia refleksi perempuan yang tahu nilainya dan tidak perlu minta pengesahan sesiapa.
Kalau ini baru permulaan, jelas Hanya Suri sedang membina sesuatu yang lebih besar.
Bagi yang mahu memulakan tahun dengan gaya yang bercakap tentang keyakinan, ini mungkin koleksi yang buat anda jatuh cinta semula dengan cara anda berpakaian.-UTUSAN










