CADANGAN menyemak semula waktu kerja kerani sekolah bukan isu baharu, namun semakin mendesak untuk diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).
Realitinya, operasi harian sekolah berbeza sama sekali daripada pejabat kerajaan biasa. Selepas pukul 3 petang, pejabat sekolah bukan lagi ruang sibuk tetapi menjadi sunyi tanpa urusan yang memerlukan kerani terus berada di situ. Ketidaksesuaian antara waktu operasi sebenar dan jadual kerja inilah yang menimbulkan pelbagai masalah dalam sistem pentadbiran sekolah.
Hakikatnya, majoriti tugasan kerani tertumpu pada waktu pagi. Pada masa itu mereka mengurus rekod murid, fail kewangan, surat-menyurat, data rasmi serta urusan ibu bapa.
Sesi petang pula, walaupun murid dan guru masih ada di bilik darjah namun tidak menambah tugas pentadbiran. Dokumen penting atau fail mesyuarat juga disiapkan lebih awal, bukan pada pukul 4.30 petang ketika guru sudah pulang. Maka, mengekalkan kerani sehingga pukul 5 petang hanya memanjangkan waktu tanpa keperluan kerja yang sebenar.
Keadaan lebih ketara di sekolah satu sesi dan sekolah pedalaman. Selepas murid pulang sekitar pukul 2.30 atau 3 petang, sekolah sunyi sepenuhnya. Tiada panggilan penting, tiada urusan ibu bapa, tiada mesyuarat. Dalam suasana sepi tanpa tugasan, kerani bukan sahaja membuang masa, malah berdepan rasa tidak selamat dan tekanan emosi.
Lebih membimbangkan, waktu petang yang kosong membuka ruang kepada masalah disiplin seperti penggunaan internet tanpa kawalan atau tingkah laku tidak wajar. Masalah ini bukan berpunca daripada kerani tetapi sistem kerja yang tidak relevan dengan fungsi sekolah.
Kerani sekolah bukan penerima gaji besar. Mereka bekerja tekun, menjadi tunjang dokumentasi sekolah, namun kenaikan pangkat amat perlahan. Jika gaji tidak mampu dinaikkan, sekurang-kurangnya jadual kerja wajar disesuaikan dengan beban tugas sebenar.
Cadangan waktu kerja dari pukul 7 pagi hingga 3 petang lebih munasabah. Ia menumpukan tenaga pada waktu puncak operasi, mengurangkan pembaziran utiliti, meningkatkan kesejahteraan kerani dan mewujudkan persekitaran kerja yang lebih sihat.
Sudah tiba masanya amalan lama diteliti semula dan digantikan dengan sistem yang lebih adil, manusiawi dan bersandarkan realiti sebenar sekolah.-UTUSAN
KERANI PENCEN
Johor










