Perkenal segera akta lompat parti - Utusan Malaysia

Perkenal segera akta lompat parti

AIZAT AZAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pergerakan Pemuda UMNO mencadangkan agar akta lompat parti dalam kalangan ahli Parlimen segera diperkenalkan untuk menangani isu berkenaan terutama melibatkan pilihan raya semula.

Exconya, Aizat Azam berkata, akta itu perlu dibangkitkan dan dibentang Usul Rang Undang-Undang Pemecatan Ahli Parlimen 2021 di Parlimen bertujuan menangani isu lompat parti dalam kalangan ahli Parlimen.

Pihaknya turut menyambut baik cadangan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang membangkitkan perkara tersebut baru-baru ini.

“Cadangan ini adalah satu langkah ke arah yang betul dan perlu dilakukan dengan komprehensif.

“Pada pandangan saya, bagi menangani isu lompat parti, pilihan raya semula adalah cara yang lebih progresif hanya sekiranya undang-undang ini digubal secara teratur dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Pada 2 September lalu, Azalina menghantar notis cadangan usul Rang Undang-Undang Pemecatan Ahli Parlimen 2021 kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Aizat menambah, pilihan raya semula merupakan satu langkah di mana mandat yang diberikan kepada seseorang ahli Parlimen boleh dibatalkan oleh penduduk di sesuatu kawasan pilihan raya dengan cara memanggil suatu pilihan raya semula apabila ahli Parlimen tersebut melompat parti atau menjadi Ahli Parlimen bebas.

“Saya perlu menekankan di sini bahawa bagi memperkenalkan undang-undang tersebut, perkara-perkara yang berikut adalah penting dan mesti diberikan perhatian iaitu peruntukan Perlembagaan Persekutuan terutamanya Perkara 10 dan 48 perlu dipinda terlebih dahulu sebelum undang-undang tersebut boleh diperkenalkan dan digubal.

“Isu-isu perlembagaan yang dibangkitkan dan dipertimbangkan dalam kes Dewan Undangan Negeri Kelantan & Anor v Nordin Bin Salleh & Anor [1992] 1 MLJ 697 harus diambil kira dalam penggubalan undang-undang tersebut,” jelasnya.

Katanya, penggubalan undang-undang tersebut yang mengembalikan kuasa memilih ahli Parlimen kepada rakyat merupakan satu langkah progresif ke arah membina negara yang lebih demokratik.

“Ia merupakan satu langkah yang konsisten dengan prinsip ‘of the people, for the people, by the people’. Undang-undang tersebut memastikan bahawa wakil rakyat adalah bertanggungjawab secara berterusan kepada pengundi-pengundinya dan mandat yang diberikan boleh dibatalkan oleh rakyat sekiranya terdapat sebarang pelanggaran peruntukan undang-undang tersebut,” jelasnya.

Tambahnya, proses penggubalan undang-undang tersebut akan mengambil masa tetapi ia langkah penting untuk bergerak ke hadapan.

“Langkah ini nyata sekali akan memastikan kestabilan kepada mana-mana kerajaan yang mentadbir negara ini dan juga ketelusan di pihak ahli Parlimen,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN