PETALING JAYA: Ringgit berpotensi mengukuh ke paras sekitar 4.03 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hujung tahun ini, selepas melonjak ke paras tertinggi baharu dalam tempoh lima tahun.
Dalam dagangan semalam, mata wang tempatan diniagakan kukuh pada sesi awal pada 4.0490/0710 berbanding dolar AS sebelum mengakhiri dagangan lebih baik pada 4.0450/0510.
Profesor Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Mohd. Rizal Palil berkata, perkembangan positif itu turut dipengaruhi oleh tindakan proaktif Bank Negara Malaysia (BNM) yang sentiasa memantau pergerakan mata wang tempatan serta faktor luaran yang menyokong prestasi ringgit.
“Bagaimanapun, pengukuhan ringgit yang berterusan dijangka memberi kesan bercampur kepada sektor ekonomi negara. Dalam jangka panjang, sektor pengeksport berkemungkinan terjejas berikutan penurunan nilai hasil jualan apabila ringgit mengukuh berbanding mata wang asing.
“Sebaliknya, keadaan tersebut memberi kelebihan kepada pengimport apabila kos import menjadi lebih rendah, sekali gus membantu mengurangkan tekanan harga barangan dan input dari luar negara.
“Mata wang tempatan juga dijangka kekal stabil dalam julat 4.00 hingga 4.05 pada suku pertama tahun hadapan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mohd. Rizal berkata, keseimbangan dalam pergerakan ringgit adalah penting bagi memastikan daya saing eksport kekal terpelihara, di samping menyokong kestabilan ekonomi domestik secara keseluruhan.
Mohd. Rizal menjangkakan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan kekal pada 2.75 peratus, selaras dengan keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini.
“Kadar OPR pada paras ini masih diperlukan untuk menggalakkan perbelanjaan isi rumah, sekaligus menyokong pertumbuhan ekonomi domestik.
“Langkah ini juga membantu mengekalkan kestabilan pasaran dan keyakinan pelabur, sambil memastikan ekonomi terus berkembang pada kadar yang mampan,” katanya.
Sementara itu, menurut Kenanga Investment Bank, menjelang akhir 2026, ringgit berkemungkinan mencecah paras 3.95 berbanding dolar AS apabila pelabur mencari aset pasaran sedang pesat membangun yang menawarkan pulangan lebih tinggi di tengah-tengah putaran dana global.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun ketidaktentuan global secara berkala boleh menyebabkan turun naik sementara, gabungan kredibiliti dasar, aliran masuk eksport dan dinamik yang menggalakkan menyokong prospek jangka sederhana yang positif untuk ringgi.
Sementara itu, Public Investment Bank berkata, ringgit berpotensi mengukuh ke paras tertinggi dalam tempoh tujuh tahun susulan jangkaan kelemahan berterusan dolar AS apabila Rizab Persekutuan (Fed) dijangka melaksanakan dasar pelonggaran monetari pada 2026.
Firma penyelidikan itu berkata, mata wang tempatan berkemungkinan meningkat sehingga 4.00 berbanding dolar AS, paras yang kali terakhir dicatatkan pada Jun 2018.
Malah, terdapat potensi untuk ringgit menembusi paras 4.00 menjelang separuh kedua 2026. Kami mengekalkan pandangan positif terhadap ringgit bagi tempoh 12 bulan akan datang,” katanya.
Menurutnya, pengukuhan selanjutnya bukan sahaja dipacu oleh kelemahan menyeluruh dolar AS, malah lebih bergantung kepada faktor domestik Malaysia, khususnya realisasi pelaburan, peningkatan penerimaan sektor perkhidmatan serta pelaksanaan fiskal yang berdaya kredibiliti.
Ringgit telah mengukuh lebih sembilan peratus berbanding dolar AS setakat tahun ini, sekali gus menjadikannya antara mata wang dengan prestasi pengukuhan terbaik di Asia pada 2025. Ketika ini, mata wang tempatan diniagakan pada sekitar 4.09 berbanding dolar AS.-UTUSAN










