Ramai menganggap kehilangan tenaga dan tubuh semakin lemah apabila usia meningkat sebagai perkara normal dalam proses penuaan.
Namun tanpa disedari, keadaan itu sebenarnya boleh menjadi petanda awal sarkopenia iaitu kehilangan jisim serta kekuatan otot yang boleh menjejaskan keupayaan warga emas untuk hidup berdikari.
Pensyarah Jabatan Dietetik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Dr. Chan Yoke Mun berkata, sarkopenia kini menjadi antara cabaran kesihatan awam utama susulan peningkatan populasi warga emas di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Keadaan itu bukan sekadar menyebabkan otot menjadi lemah, malah meningkatkan risiko jatuh, hilang keupayaan bergerak, kemasukan ke hospital serta penurunan kualiti hidup.
“Malaysia sedang bergerak pantas ke arah negara menua apabila satu daripada setiap lima rakyat dijangka berusia 60 tahun ke atas menjelang tahun 2048 berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia.
“Perubahan demografi ini memberi implikasi besar terhadap sistem penjagaan kesihatan, produktiviti tenaga kerja dan pembangunan negara,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Inaugural bertajuk Nutrition for Resilient Ageing: Optimised Protein Strategies for Sarcopenia Prevention, baru-baru ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Protein sebagai kunci
Menurut beliau, antara langkah paling penting untuk mencegah sarkopenia ialah memastikan pengambilan protein mencukupi dan berkualiti tinggi.
Katanya, warga emas memerlukan pengagihan protein yang seimbang dalam setiap hidangan selain pengambilan leucine mencukupi bagi membantu merangsang pembinaan otot.
“Pengambilan protein yang mencukupi, khususnya asid amino seperti leucine, dikenal pasti mampu mengaktifkan laluan mTOR yang berperanan merangsang sintesis protein otot sekaligus membantu meningkatkan jisim serta kekuatan otot,” jelasnya.
Warga emas disarankan mengambil sekitar 0.4 gram protein bagi setiap kilogram berat badan dalam setiap hidangan.
Sebagai contoh, individu dengan berat badan 50 kilogram memerlukan kira-kira 20 gram protein bagi setiap hidangan untuk memenuhi keperluan harian mereka.
Pelbagai sumber protein
Katanya, sumber protein berkualiti boleh diperoleh daripada makanan seperti daging lembu, ayam, ikan, telur dan udang selain sumber berasaskan tumbuhan seperti tauhu, tempe, soya serta dhal bagi golongan vegetarian.
Peningkatan usia sering menyebabkan selera makan warga emas semakin berkurangan akibat perubahan fisiologi, sekaligus menyukarkan mereka mendapatkan makanan berkualiti secara mencukupi.
“Jika sukar mengambil makanan pejal, alternatif seperti susu, minuman berasaskan soya atau jus berprotein boleh diambil selain penggunaan suplemen pemakanan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Dr. Yoke Mun berkata, masalah kehilangan otot bukan hanya berlaku dalam kalangan warga emas malah boleh bermula lebih awal dalam kehidupan.
Kehilangan otot sebenarnya boleh bermula seawal usia 30 tahun dan boleh berlaku kepada sesiapa sahaja jika aspek pemakanan serta aktiviti fizikal tidak dijaga dengan baik.
Pendedahan awal serta pendidikan pemakanan amat penting untuk meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan menjaga kesihatan otot sejak usia muda.
“Langkah ini dapat membantu mengurangkan risiko sarkopenia dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat pada masa akan datang,” katanya.









