Santai dan damai di Tuaran

Santai dan damai di Tuaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Landskap pelancongan Sabah sering didominasi tiga destinasi utama iaitu Kota Kinabalu, Kundasang dan Semporna.

Namun, di sebalik populariti itu, Tuaran turut menawarkan pengalaman percutian yang lebih tenang, santai dan dekat dengan alam semula jadi.

Di Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran, pengunjung disajikan dengan keindahan panorama paya bakau dan tepi pantai yang memukau.

Terletak kira-kira sejam dari Kota Kinabalu, penginapan terbaharu ini menawarkan 167 bilik berkonsep moden dengan ruang kerja yang praktikal.

Ia sesuai untuk percutian singkat mahupun jangka panjang di luar bandar.

Selain penginapan selesa, pengunjung turut berpeluang berkayak, menyusuri paya bakau, memancing dan melihat kelip-kelip pada waktu malam.

Turut disediakan aktiviti berbasikal, pickleball dan bola tampar pantai.

Menariknya, semua aktiviti itu boleh dilakukan dalam kawasan hotel tanpa perlu bergerak ke lokasi lain.

Pengurus Besarnya, Kristine Chan berkata pembukaan hotel itu diyakini dapat mengukuhkan lagi kedudukan Tuaran, termasuk dalam kalangan pelancong antarabangsa.

Antaranya dari Taiwan dan Jepun yang kini meletakkan destinasi itu dalam radar pilihan mereka.

Kemudahan lain yang disediakan di Hilton Garden Inn Kota Kinabalu Tuaran ialah kolam renang terbuka, taman permainan air kanak-kanak, gimnasium, restoran Together & Co, dobi layan diri dan parkir percuma untuk tetamu.

Bagi acara korporat dan majlis sosial, hotel ini turut menyediakan dewan pelbagai guna seluas 164 meter persegi bagi menampung sehingga 80 tetamu.

Matahari terbit, terbenam

Setiap pagi, pengunjung berpeluang menikmati momen indah saat matahari terbit yang menyinari panorama paya bakau dan pantai Tuaran.

Menjelang senja, langit perlahan-lahan berubah kepada rona oren, disusuli merah jambu sebelum bertukar kepada ungu.

Perubahan warna ini mencipta pengalaman baharu kepada pengunjung sekali gus, menjadikan detik senja di Tuaran lebih istimewa dan sukar dilupakan.

Kelip-kelip

Aktiviti paling dinantikan tentunya melihat kelip-kelip di kawasan paya bakau yang menjadi antara tarikan utama di Tuaran.

Sesi ini mengambil masa kira-kira 45 minit dan sebaik bermula, pengunjung terus disajikan dengan cahaya berkelipan di celah pokok tanpa perlu menunggu lama.

Jumlahnya yang banyak menjadikan suasana seakan-akan pokok Krismas yang bercahaya di malam hari.

Lebih menarik, kelip-kelip turut mendekati bot, sekali gus membolehkan pengunjung melihatnya dengan lebih dekat.

Malah ada yang berkesempatan menangkap dan memegang serangga itu.

Kayak

Jangan lepaskan peluang untuk mencuba aktiviti berkayak pada waktu pagi mahupun petang.

Jika cuaca baik, pengunjung berpeluang menikmati kayuhan santai itu dengan berlatarbelakangkan pemandangan indah Gunung Kinabalu.

Destinasi menarik sekitar Tuaran:
– Sungai Mengkabung
– Pasar Ahad Tuaran
– Kampung Budaya Linangkit

-Muzium Orang Asli Chanteek Borneo
– Bandar Koboi Sabandar
– Taman Buaya Tuaran

Waktu matahari terbit: 5.50 pagi

Waktu matahari terbenam: 6.20 pagi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN