Eksport perabot ke AS meningkat 3.8 peratus kepada RM5.7 bilion

Eksport perabot ke AS meningkat 3.8 peratus kepada RM5.7 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia terus mengukuhkan kedudukan sebagai antara pengeksport utama produk perabot ke pasaran Amerika Syarikat (AS) dengan peningkatan 3.8 peratus nilai eksport tahun ke tahun kepada RM5.70 bilion bagi tempoh Januari hingga November 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Abu Bakar Yusof berkata, eksport perabot Malaysia ke AS meningkat daripada 47 peratus kepada 49.5 peratus, sekali gus mengekalkan AS sebagai pasaran eksport perabot terbesar negara.

Katanya, pertumbuhan positif itu didorong oleh prestasi kukuh merentasi tiga subsektor utama iaitu komponen perabot yang mencatat peningkatan RM165.4 juta, diikuti perabot kayu sebanyak RM142.1 juta dan tempat duduk berbingkai kayu naik sebanyak RM67.8 juta.

Katanya, Malaysia kini merupakan pembekal perabot keenam terbesar ke AS dengan pegangan pasaran sebanyak 2.4 peratus, prestasi memberangsangkan yang mencerminkan kekuatan dan daya tahan sektor perabot negara walaupun berdepan tekanan luaran serta cabaran ekonomi global.

“Walaupun berdepan cabaran ekonomi global semasa, pemain industri perabot Malaysia terus membuktikan keupayaan dan daya saing mereka, khususnya dalam penghasilan perabot berkualiti tinggi yang disokong oleh komitmen kukuh terhadap kelestarian serta pematuhan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Senario tarif global semasa turut membuka peluang baharu kepada Malaysia apabila pembeli AS mula mengalihkan sumber bekalan mereka ke negara seperti Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, seiring dengan pertumbuhan itu juga, Matrade menjalin kerjasama strategik dengan Wayfair bagi memperkukuh pasaran eksport perabot Malaysia ke AS.

“Kerjasama dengan Wayfair, yang juga gergasi e-dagang global dari AS dapat membantu syarikat Malaysia menguasai bahagian pasaran yang lebih besar dalam pasaran perabot,” katanya.

Abu Bakar berkata, inisiatif itu mengukuhkan komitmen Matrade untuk terus memperkukuh eksport negara di pasaran AS, khususnya dalam segmen pasaran bernilai tinggi dan berasaskan digital.

Menurutnya, kerjasama itu dapat membantu pengeksport Malaysia menembusi pasaran perabot AS bernilai AS$200 bilion, di mana pembelian dalam talian kini mewakili lebih separuh daripada jumlah jualan (AS$115 bilion).

“Matrade menggalakkan syarikat untuk beralih daripada model eksport tradisional FOB (Free On Board) kepada e-dagang rentas sempadan secara langsung.

“Selain itu, seiring dengan pertumbuhan berterusan di pasaran sedia ada, Matrade turut mempergiat usaha mempelbagaikan pasaran eksport perabot Malaysia melalui kerjasama strategik dengan acara industri utama seperti Pameran Perabot Antarabangsa Malaysia (MIFF) dan Pameran Perabot Eksport (EFE).

“Menerusi Program Sumber Antarabangsa (INSP), Matrade memudahcara padanan perniagaan berstruktur dengan pembeli dari Eropah, Asia Barat, Asia serta pasaran pertumbuhan lain bagi membantu pengeksport meluaskan dan mempelbagaikan pasaran eksport mereka,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN