BANGKOK: Skuad futsal bawah 19 tahun (B-19) kebangsaan perlu mengelak daripada melakukan kesilapan mudah ketika berdepan Indonesia dalam perlawanan kedua Kumpulan B Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025, hari ini.
Anak buah Rakphol Seinetngam juga perlu ‘cepat panas’ bagi mengelak situasi sama berulang seperti ketika terikat 3-3 dengan Myanmar dalam aksi pembukaan, apabila Malaysia ketinggalan 1-3 pada separuh masa pertama.
Kapten negara, Mohamad Faaris Amsyar Marhaidi berkata, pasukan akan berjuang mati-matian ketika berdepan Indonesia untuk meraih keputusan positif bagi merealisasikan sasaran pengurusan mara ke peringkat separuh akhir.
“Dalam perlawanan pertama, kami lambat menyesuaikan diri. Namun, kami bangkit pada babak kedua dan bagi saya, aksi pada babak kedua itulah gaya permainan sebenar kami. Jadi, ketika berdepan Indonesia, kami perlu agresif lebih awal.
“Tekanan pasti ada ketika menentang Indonesia, tetapi dengan barisan pemain yang ada, kami percaya dapat berjuang sehabis baik untuk merealisasikan sasaran pihak pengurusan, iaitu mara ke separuh akhir.
“Untuk berdepan Indonesia, apa yang saya nampak ialah kami perlu memperbaiki disiplin pertahanan seperti yang ditekankan jurulatih. Kami juga akan menggunakan segala taktikal yang diatur bagi memastikan tiga mata menjadi milik Malaysia.
“Selain itu, apa yang penting, pemain perlu menetapkan mental sebaik melangkah ke gelanggang, cepat menyesuaikan diri dan terus berjuang untuk negara,” katanya yang juga penuntut Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam.
Terdahulu, kelmarin, Malaysia diikat 3-3 oleh Myanmar dalam aksi pembukaan dan keputusan itu sekali gus menuntut skuad kendalian Rakphol meraih kemenangan ke atas Indonesia bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Berdasarkan format kejohanan, dua pasukan teratas Kumpulan A dan Kumpulan B akan mara ke separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada 27 Disember, sebelum aksi penentuan tempat ketiga dan final pada 29 Disember ini. – UTUSAN










