KUANTAN: Skuad futsal Pahang Rangers menyasarkan permulaan sempurna di minggu pembukaan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2026 yang akan membuka tirainya Sabtu ini.
Selepas hampir sembilan bulan menunggu, MPFL akhirnya kembali dengan format musim ini dilangsungkan secara karnival, membabitkan sembilan sirkit di tiga venue iaitu Stadium Tertutup Pasir Gudang, Kompleks Panasonic Shah Alam dan Stadium Tertutup Sukpa, Kuantan.
Sirkit pertama di Pasir Gudang, Pahang Rangers akan turun berdepan pendatang baru ATM pada Sabtu, sebelum pertembungan tumpuan menentang juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada Ahad.
“Enam mata, itu misi jelas kami di Johor. Bermula dengan langkah kanan di Sirkit 1 sangat kritikal untuk membina momentum dan meletakkan Pahang Rangers di landasan yang betul sejak hari pertama.
“Tidak seperti musim sebelumnya, kali ini kita akan bermain dua hari berturut-turut. Jadi ia akan menjadi musim yang menuntut komitmen tinggi dari sudut sukan dan fizikal, dengan jadual perlawanan yang padat serta intensiti tinggi.
“Fokus dalam setiap perlawanan dan penting untuk dapatkan prestasi terbaik daripada setiap pemain,” kata Alonso yang sebelum ini bersama skuad kebangsaan Thailand.
Pahang Rangers musim ini tidak membuat perubahan besar, apabila hanya membawa masuk dua pemain baru, iaitu Syarifuddin Md. Akhir dari Kedah dan menyambar bintang dari Brazil, Rodrigo Galvao da Silva untuk melengkapkan kuota import.
Buat musim ketiga berturut-turut, Felipe de Souza yang kini memegang status penjaring terbanyak sepanjang zaman pasukan bakal menjadi taruhan, dibantu beberapa tonggak berpengalaman seperti Akmarulnizam Idris, Ahmad Harith Naim Mohd Nasir dan Razin Rahim.
“Kami sedang memulakan projek masa depan yang mengujakan dengan kumpulan pemain muda, disokong oleh beberapa pemain senior yang bekerja keras membantu perkembangan mereka, serta dua pemain Brazil yang hebat.
“Pemain-pemain telah menunjukkan peningkatan sangat baik dalam tempoh dua bulan ini. Saya sangat kagum dengan beberapa pemain yang membuktikan keinginan tinggi untuk bersaing di tahap tertinggi. Sikap mereka sangat luar biasa.
“Saya mahukan sebuah pasukan dengan winning mentality yang berani berdepan dengan mana-mana pasukan sekalipun. Pasukan yang terus berkembang dari satu perlawanan ke satu perlawanan, dengan pemain yang memberikan segalanya untuk pasukan, untuk Pahang, dan untuk rakan sepasukan mereka,” tambah Alonso.
Alonso ditemui ketika hadir di Majlis Menandatangani MOU antara Pahang Rangers bersama Sanwa Tours dan Physio Hero pada Khamis.
Sanwa sebagai rakan logistik rasmi, akan menyediakan kemudahan pengangkutan bertaraf kelas pertama untuk kegunaan pasukan sepanjang musim.
Physio Hero Kuantan pula memastikan setiap pemain mendapat akses kepada rawatan fisioterapi profesional serta pengurusan kecederaan yang lebih efektif. – UTUSAN










