PETALING JAYA: Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 kini diletakkan sebagai kemuncak misi skuad sepak takraw negara dalam usaha mengekalkan dominasi serantau dan membuktikan keunggulan sebenar di pentas Asia.
Tekong utama negara, Syahir Rosdi menegaskan, kejuaraan Sukan Asia menjadi sasaran pasukan serta fokus utama ketika ini dan memastikan prestasi konsisten serta mental juara terus dipelihara, terutama selepas kejayaan gemilang menundukkan Thailand di Sukan SEA 2025.
Menurut Syahir, status selaku juara Piala Dunia 2024, Piala Asia 2025 dan Sukan SEA Thailand tidak menjamin laluan mudah buat pasukan, sebaliknya menjadi peringatan agar skuad negara tidak terperangkap dalam zon selesa.
“Sukan Asia 2026 memang sasaran besar, tetapi ia bukan tekanan wajib. Yang penting kami terus beraksi cemerlang dalam setiap kejohanan. Thailand pasti bangkit dan mereka tidak akan berdiam diri,” katanya.
Pemain berusia 27 tahun itu turut mengingatkan bahawa kejayaan lalu tidak seharusnya diraikan terlalu lama kerana cabaran sebenar adalah mempertahankan kejuaraan, bukan sekadar memenanginya sekali.
“Sebagai juara, kami kena bekerja dua kali ganda lebih keras. Kalau leka, gelaran itu boleh dirampas semula bila-bila masa,” ujarnya.
Mengulas harapan tinggi peminat selepas kejayaan meraih emas berganda dalam acara regu dan regu berpasukan di Sukan SEA Thailand, Syahir mengakui tekanan itu wajar dijadikan pemangkin untuk membina pasukan yang lebih kebal dari segi mental dan disiplin.
“Kami mahu menang dengan lebih meyakinkan. Sasaran kami bukan sekadar juara, tetapi membina dominasi jangka panjang. Kami tidak mahu menunggu lima atau 10 tahun untuk kembali ke puncak,” katanya. – UTUSAN










