Pengusaha kolam bimbang aktiviti kaolin sebabkan pencemaran

Pengusaha kolam bimbang aktiviti kaolin sebabkan pencemaran

MUHAMMAD Arafat Varisai Muhammad (kanan) bersama Abdul Aziz Abdul Manaf menunjukkan pencemaran sungai berpunca aktiviti perlombongan kaolin di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan di Ipoh, Perak, hari ini. - FOTO/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Pengusaha kolam ternakan ikan air tawar di Kampung Kolam, Tanjung Rambutan di sini bimbang sumber pendapatan mereka terjejas akibat pencemaran sungai yang berpunca daripada aktiviti perlombongan kaolin di kawasan berhampiran. 

Pengerusi Persatuan Agro Kampung Kolam, Abdul Aziz Abdul Manaf berkata, perlombongan dipercayai diusahakan secara haram sejak sebulan lalu itu telah menyebabkan air sungai berubah warna menjadi keruh sehingga memberi kesan kepada 65 kolam ternakan ikan.

Katanya, keadaan itu amat membimbangkan tambahan lagi apabila terdapat ikan ditemui mati dipercayai akibat pencemaran tersebut.

“Sejak sebulan lalu, banyak jentera berat keluar masuk ke kawasan ini bagi tujuan perlombongan kaolin. 

“Kegiatan tersebut memberi kesan besar kepada aktiviti harian penternak di sini kerana sumber air sungai yang mengalir ke dalam kolam ternakan kami telah tercemar dengan kualiti air yang terjejas.

“Keadaan ini amat mengecewakan kami kerana pelepasan sisa perlombongan ke sungai berhampiran juga akan mengganggu ekosistem akuatik,” katanya ketika ditemui di lokasi perlombongan kaolin di Kampung Kolam, di sini hari ini.

Abdul Aziz yang juga Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Kolam berkata, mereka juga kesal dengan sikap tidak bertanggungjawab pengusaha projek itu apabila membuang pokok-pokok yang ditebang ke dalam sungai.

Katanya, penebangan pokok itu untuk membina jalan baharu bagi tujuan membawa keluar kaolin.

“Jika setakat sisa-sisa ranting atau kayu yang dibuang ke dalam sungai, kita boleh terima lagi, tapi ini pokok-pokok yang dibuang ke dalam sungai, kami sendiri terpaksa bersihkan dengan potong dan bawa naik ke tebing. 

“Kami bimbang keadaan ini akan membawa kepada kejadian buruk tambahan lagi sekarang musim hujan, kita bimbang kepala air akan menghanyutkan pokok dan kayu-kayu itu hingga merosakkan empangan yang dibina untuk disalurkan ke kolam ternakan,” katanya.

Tambahnya, terdapat 15 pengusaha terlibat secara aktif menerusi pelbagai jenis ternakan ikan air tawar termasuk tilapia merah, tilapia hitam, baung, patin, jelawat, rohu dan tongsan.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhammad Arafat Varisai Muhamad berkata, daripada tinjauan yang dilakukan, didapati tiada papan tanda maklumat berkaitan aktiviti perlombongan kaolin di kawasan berkenaan.

Katanya, ketiadaan sebarang papan tanda itu menunjukkan kegiatan perlombongan tersebut kemungkinan dijalankan secara haram.

“Saya akan mendapatkan maklumat lanjut daripada jabatan terlibat sama ada aktiviti perlombongan di sini mendapat kelulusan atau pun tidak. 

“Jika benar tiada kelulusan, kita mohon tindakan tegas diambil. Kita mempunyai bukti termasuk gambar jentera-jentera berat yang keluar masuk kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak, Datuk Ahmad Zukni Ahmad Khalil berkata, semakan lanjut akan dibuat bagi memastikan sama ada kawasan dimaksudkan berada di bawah bidang kuasa jabatan atau Pejabat Tanah, sebelum tindakan lanjut diambil.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak, Rosli Zul pula memaklumkan telah mengarahkan siasatan segera dilakukan di kawasan itu.

“Berdasarkan input aduan yang diterima, pencemaran sungai itu dari aktiviti perlombongan kaolin. Oleh itu JAS akan merujuk kepada JMG untuk tindakan lanjut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya