Junta Myanmar larang lelaki mohon kerja di luar negara

Junta Myanmar larang lelaki mohon kerja di luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

YANGON: Junta Myanmar menggantung pengeluaran permit untuk warga lelaki bekerja di luar negara, beberapa minggu selepas memperkenalkan undang-undang kerahan tentera yang menyebabkan ribuan penduduk cuba meninggalkan negara itu.

Junta, yang sedang bergelut untuk menumpaskan penentangan bersenjata yang meluas terhadap pemerintahannya pada Februari berkata, ia akan menguatkuasakan undang-undang yang membenarkannya memanggil semua lelaki untuk berkhidmat dalam tentera selama sekurang-kurangnya dua tahun.

Tindakan itu menyebabkan beribu-ribu beratur untuk mendapatkan visa di luar kedutaan asing di Yangon dan yang lain menyeberang ke negara jiran Thailand untuk melarikan diri dari undang-undang tersebut.

“Kementerian buruh menggantung sementara permohonan daripada golongan lelaki yang ingin bekerja di luar negara.

“Langkah itu diperlukan untuk mengambil lebih banyak masa untuk mengesahkan proses berlepas serta beberapa isu lain,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh pasukan penerangan junta tanpa memberikan butiran lanjut.

Menurut anggaran Pertubuhan Buruh Antarabangsa memetik angka daripada kerajaan, lebih empat juta warga Myanmar bekerja di luar negara pada 2020.

Undang-undang perkhidmatan tentera dikarang oleh junta sebelumnya pada 2010 tetapi tidak pernah dikuatkuasakan.

Ia membolehkan tentera memanggil semua lelaki berumur 18 hingga 35 tahun dan wanita berumur 18 hingga 27 tahun untuk berkhidmat sekurang-kurangnya dua tahun.

Undang-undang itu juga mempunyai ketetapan semasa keadaan darurat, tempoh perkhidmatan boleh dilanjutkan sehingga lima tahun dan mereka yang mengabaikannya boleh dipenjarakan untuk tempoh yang sama.

Junta Myanmar mengumumkan keadaan darurat apabila ia merampas kuasa pada 2021, dengan tentera baru-baru ini melanjutkannya selama enam bulan lagi.

Menurut akaun Telegram pro-tentera, kumpulan pertama beberapa ribu rekrut sudah pun memulakan latihan di bawah undang-undang tersebut.

Jurucakap junta berkata, undang-undang itu diperlukan kerana situasi yang berlaku di negara itu untuk memerangi Angkatan Pertahanan Rakyat dan lebih banyak kumpulan bersenjata yang sudah lama wujud dalam kalangan etnik minoriti.

Kira-kira 13 juta orang layak dipanggil walaupun tentera hanya mempunyai kapasiti untuk melatih 50,000 setahun.

Menurut kumpulan pemantau tempatan, lebih 4,900 orang terbunuh dalam tindakan keras tentera terhadap pembangkang sejak rampasan kuasa Februari 2021 dan lebih 26,000 yang lain ditangkap.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN