KEMAMAN: Tindakan seorang pemandu lori yang berada di bawah pengaruh dadah untuk cuba meloloskan diri daripada sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 158, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhampiran Geliga, di sini, membawa padah apabila dia diberkas polis, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintenden Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 2.25 pagi tadi, lelaki berusia 32 tahun yang memandu lori jenis Auman itu secara tiba-tiba merempuh sekatan jalan raya dan cuba meloloskan diri.
“Tindakan lelaki itu yang secara tiba-tiba merempuh sekatan jalan, mengejutkan anggota polis yang sedang bertugas dan mereka sempat mengelak menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Bagaimanapun, hasil kecekapan pihak polis, kita berjaya menahan lori mangsa di hadapan salah sebuah pusat servis kenderaan iaitu kira-kira dua kilometer dari lokasi SJR diadakan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Hanyan berkata, hasil pemeriksaan, polis menemukan tujuh paket plastik mengandungi serbuk atau ketulan kristal yang disyaki dadah.
“Hasil ujian saringan awal terhadap urin suspek juga mendapati suspek positif dadah jenis metamfetamin.
“Kita juga sedang menyiasat identiti sebenar suspek dan berdasarkan jumlah dadah yang ditemui, kita syak dadah itu untuk kegunaan diri sendiri atau mungkin untuk bersama rakan-rakannya. Bagaimanapun, kita masih siasat perkara ini,” katanya.
Hanyan berkata, lelaki itu ditahan reman selama empat hari bermula hari ini hingga Isnin dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39(A) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN










