PRK: Ahli UMNO jangan sabotaj - Tajuddin - Utusan Malaysia

PRK: Ahli UMNO jangan sabotaj – Tajuddin

TAJUDDIN Abdul Rahman dalam sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Taj Internasional College (TIC) di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Ahli UMNO dinasihatkan agar tidak melakukan sabotaj ke atas calon Kerajaan Perpaduan yang dipilih untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, tindakan sabotaj dengan tidak mengundi calon Pakatan Harapan (PH) dari DAP itu mungkin boleh memakan diri atau dikenakan tindakan oleh pucuk pimpinan parti.

“Nasihat saya, tidak perlulah (sabotaj), kalau tidak mahu sokong pun duduk diam-diam. Jangan sabotaj dan ikutkan hati.

“Lagipun apa faedahnya kalau sabotaj? Kita kalau nak buat sesuatu mestilah yang berfaedah.

“Saya dulu pun pernah dituduh sabotaj pada pilihan raya umum lalu sehingga digantung (keahlian) oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (Presiden UMNO),” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Taj Internasional College (TIC) di sini hari ini.

Sementara itu, Tajuddin yang juga bekas Pengarah Pilihan Raya UMNO meminta semua pihak agar mengamalkan politik matang agar tidak melakukan fitnah dan menghasut sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, perkara itu penting dalam memastikan proses pilihan raya berjalan lancar.

“Semasa pilihan raya, serang menyerang dalam politik adalah perkara biasa tetapi jangan pula sampai memfitnah dan menghasut, itu besar dosanya.

“Kalau bercakap perkara yang betul, itu tiada masalah. Cuma sekarang, mereka mahu berpolitik tapi tiada modal jadi gunalah cara menghasut,” ujar beliau.

Tajuddin ditanya mengenai laporan media mengenai hasil kajian bersemuka yang dijalankan oleh pengkaji, didapati segelintir pengundi pada PRK Kuala Kubu Bharu bertekad tidak akan turun mengundi sebagai tanda protes.

Justeru, timbul persoalan sejauh mana ceramah dan komunikasi kempen pemimpin UMNO yang memberikan penjelasan dan memujuk agar penyokong Barisan Nasional (BN), terutama UMNO mengundi calon DAP atas tiket Kerajaan Perpaduan, diterima pengundi.

PRK Kuala Kubu Bharu pada 11 Mei ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu selepas beberapa tahun bertarung dengan kanser. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×