Pelantikan Ismail Sabri tidak langgar undang-undang - Tun M

Pelantikan Ismail Sabri sah, tetapi tak ikut demokrasi – Tun M

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri tidak melanggar undang-undang.

Namun, beliau berpendapat ia tidak mengikut lunas-lunas demokrasi negara.

“Apa yang telah berlaku, orang yang ditolak rakyat sekarang ini menjadi kerajaan, orang dipilih rakyat sekarang ini jadi pembangkang. Ini menidakkan amalan demokrasi yang sepatutnya rakyatlah memilih kerajaan dan bukan cara-cara lain untuk menidakkan hak rakyat.

“Saya harap cara ini tidak diamal di masa-masa hadapan. Untuk ini, kita perlu mengadakan undang-undang yang melarang lompat-melompat, namun demikian ia tidaklah semudah itu dengan hanya mengharamkan acara melompat ini,” katanya ketika perbahasan Titah Diraja hari ini.

Ini kerana, katanya, adakalanya apabila diadakan pilihan raya, tidak ada satu parti yang memperoleh bilangan mencukupi untuk mendirikan kerajaan.

“Dalam keadaan sebegitu, ada keperluan parti-parti lain juga bersama dengan parti yang mendapat jumlah terbesar supaya bilangan wakil rakyat dalam kerajaan melebihi separuh bilangan kerusi dalam Dewan Rakyat.

“Perbuatan cantuman parti lain dengan parti terbesar tidaklah sesuatu yang boleh ditafsir sebagai melompat kalau ianya dilakukan cara tersusun mengikut peraturan perlembagaan parti-parti berkenaan iaitu keputusan hendaklah diambil semasa ada mesyuarat parti bahawa parti itu akan bersama dengan parti yang mendapat bilangan terbesar untuk mencukupi bilangan supaya boleh dirikan kerajaan,” katanya.

Justeru, Mahathir berpendapat, tidak boleh semata-mata mengharamkan tindakan melompat parti sebaliknya menjelaskan apa yang ditafsirkan sebagai melompat dan tidak sewenang-wenangnya menuduh bahawa lompat parti telah dilakukan.

“Ada parti yang memecat ahli-ahlinya kerana sebab-sebab tertentu tetapi ini bukanlah acara lompat dari satu parti ke parti lain.

“Sebab itu soal lompat melompat perlu dikaji dengan mendalam supaya ia membolehkan dewan bergerak dengan licin tanpa gangguan oleh perbuatan mana-mana pihak oleh ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya