OPR: Petunjuk ekonomi ke arah pemulihan - Utusan Malaysia

OPR: Petunjuk ekonomi ke arah pemulihan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus dilihat rasional berdasarkan beberapa indikator ekonomi yang telah ke arah pemulihan, kata Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff.

Beliau berkata, indikator itu termasuk indeks Bursa Malaysia yang menunjukkan peningkatan, harga komoditi seperti minyak sawit dan getah kekal tinggi serta ringgit yang kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Indikator lain, kata beliau, pembukaan lebih banyak sektor ekonomi disebabkan peralihan dari Fasa 1 ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) beberapa negeri, termasuk Lembah Klang yang menyumbang 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Ini bermakna, tiada kemungkinan lagi untuk OPR diturunkan tahun ini dan tahun hadapan. Selepas ini, kemungkinan OPR akan dinaikkan pada tahun hadapan jika ekonomi kembali mengembang terlalu pantas,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Kelmarin, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengekalkan OPR pada 1.75 peratus berikutan ekonomi global yang terus pulih, disokong peningkatan aktiviti perkilangan dan perkhidmatan.

Bagi ekonomi Malaysia, BNM berkata, pelaksanaan semula langkah-langkah pembendungan di seluruh negara bagi mengekang penularan semula kes Covid-19 telah memperlahankan mementum pertumbuhan dan kelonggaran operasi sektor ekonomi secara berperingkat baru-baru ini akan mengurangkan kesan tersebut, seterusnya membolehkan ekonomi terus berada pada landasan pemulihan.

Mengulas pandangan pihak tertentu bahawa BNM wajar menurunkan lagi OPR memandangkan masih ada sektor ekonomi yang belum pulih dan perlu dibantu, Ahmed Razman berpendapat, penurunan OPR ke paras lebih rendah akan membawa kepada perangkap kecairan.

Katanya, perangkap kecairan merujuk kepada kemudahan pinjaman yang berkadar rendah tidak membantu ekonomi tampak (tidak terlindung) tetapi digunakan untuk maksud lain seperti pembiayaan semula dan pelaburan dalam ekuiti. 

“Oleh itu, mana-mana sektor yang perlu bantuan tidak semestinya dibantu dengan pinjaman berkadar rendah tetapi dibantu melalui pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan tiada lagi kawalan pergerakan rentas negeri supaya perniagaan boleh mula berniaga seoptimum mungkin,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya