PUTRAJAYA: Seorang pemuda yang membunuh dan membakar mayat kekasihnya yang hamil 18 minggu terlepas hukuman gantung selepas Mahkamah Rayuan meminda hukuman berkenaan kepada penjara 40 tahun dan 12 sebatan.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Azman Abdullah, bersama Datuk Ahmad Kamal Md. Shahid dan Datuk Seri Mohd. Radzi Harun, membuat keputusan sebulat suara selepas membenarkan rayuan Muhammad Fakrul Aiman Sajali, 23.
Mahkamah memutuskan hukuman baharu itu mengambil kira faktor usia muda perayu ketika kejadian dan perubahan peruntukan bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memberi budi bicara kepada mahkamah untuk menjatuhkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sebatan minimum 12 kali bagi pesalah lelaki di bawah 50 tahun.
Hakim Azman berkata, hukuman gantung sampai mati dijatuhkan Mahkamah Tinggi Klang sebelum ini diketepikan dan diganti hukuman penjara 40 tahun bermula dari tarikh tangkap dan 12 sebatan.
Peguam perayu berhujah hukuman Mahkamah Tinggi adalah terlalu berat memandangkan tertuduh berusia 20 tahun empat bulan ketika kejadian dan mengaku bersalah sebelum perbicaraan bermula.
Namun Timbalan Pendakwa Raya Abdul Malik Ayob berhujah hukuman asal adalah wajar dan setimpal dengan kekejaman jenayah dilakukan.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Fakrul didakwa membunuh Nur Anisah Abdul Wahab, 21, di Jalan Sungai Limau antara 8.30 malam 22 Mei hingga 8 pagi 23 Mei 2023.
Pada 15 Oktober 2025, Mahkamah Tinggi Klang menjatuhkan hukuman gantung sampai mati selepas tertuduh mengaku bersalah dan mengakui semua fakta kes dan 112 eksibit termasuk imej ultrabunyi kandungan, pisau, kayu serta pakaian mangsa.
Ujian analisis DNA Jabatan Kimia Malaysia mengesahkan janin berusia 18 minggu itu bukan milik tertuduh.
Hakim Mahkamah Tinggi Norliza Othman dalam penghakimannya menyatakan perbuatan tertuduh adalah jenayah dirancang, kejam dan sadis, termasuk kecederaan parah pada mangsa seperti tikaman, hirisan dan hentakan menggunakan kayu sebelum mayat dibakar. – UTUSAN










