PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menyalurkan peruntukan awal sebanyak RM100,000 bagi proses baik pulih stor dewan Sekolah SMK Putrajaya Presint 14(1) yang terjejas akibat kebakaran semalam.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan (JPWP) dalam kenyataan hari ini berkata, peruntukan itu akan digunakan bagi kerja pembersihan dan kerja-kerja awalan lain seperti penyambungan semula bekalan utiliti yang terjejas akibat kebakaran serta pembaikan kecil.
Menurutnya, peruntukan awal itu diumumkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek selepas meninjau lokasi kebakaran malam tadi.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden kebakaran ini. Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian ini.
“Kami telah mengambil tindakan segera untuk menutup kawasan terjejas serta kawasan berhampiran bagi memastikan aspek keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan warga sekolah terpelihara,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6.10 petang semalam, stor dewan sekolah itu terbakar membabitkan kawasan seluas kira-kira 12 x 50 kaki persegi. – UTUSAN










