Redah sungai, tidur tepi tebing demi pendidikan anak Orang Asli - Utusan Malaysia

Redah sungai, tidur tepi tebing demi pendidikan anak Orang Asli

SELUT tebal ketika melalui laluan balak merupakan cabaran perlu dilalui Tuan Muhammad Khairol Tuan Johari untuk sampai ke SK Bihai, Gua Musang, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Meredah arus deras sungai, jalan berlumpur dan pernah bermalam di tepi sungai menjadi asam garam dilalui Tuan Muhammad Khairol Tuan Johari, 37, dalam melaksanakan tu­gas sebagai guru bagi memastikan anak-anak orang Asli tidak ketinggalan dalam arus pendidikan.

Meskipun pernah terjatuh motosikal semasa meredah laluan balak berselut tebal setiap kali hujan, semangat guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai di sini tidak pernah luntur menempuh jarak perjalanan 30 kilometer (km).

“Cabaran paling sukar tentunya ketika musim hujan. Pada tahun pertama di SK Bihai, saya menggunakan motosikal Kawasaki KLX 150 untuk keluar dan masuk ke sekolah.

“Sampai saya sendiri sudah tidak ingat berapa kali jatuh motosikal kerana jalan licin dan berlumpur,” katanya yang sudah lima tahun menabur bakti di SK Bihai.

Tuan Muhammad Khairol berkata, pengalaman pertama melapor diri di SK Bihai pada Januari 2021 selepas lapan tahun mengajar di Selangor, benar-benar menguji kekuatan fizikal dan mentalnya.

Katanya, perjalanan ke sekolah memerlukan guru-guru menyeberangi dua batang su­ngai yang boleh bertukar menjadi berbahaya kerana arus deras ketika hujan lebat.

“Kami periksa dahulu kedalaman dan arus sungai. Jika masih selamat, kami tolak motosikal beramai-ramai merentas su­ngai. Kalau air terlalu deras, kami terpaksa tunggu sehingga surut. Pernah juga kami bermalam di tepi sungai kerana air tidak surut,” ujarnya.

Dia mengakui terpaksa berjauhan dengan isteri yang menetap di Kampung Kubang Batang, Pasir Mas dan tiga anak yang masih kecil merupakan cabaran besar, memandangkan ia kali pertama berdepan kehidupan berjauhan dengan keluarga dalam tempoh lama.

“Awalnya memang sukar, tetapi doa ibu dan isteri menjadi kekuatan saya untuk terus bertahan demi amanah mendidik anak bangsa di pedalaman,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN