Setiap tahun, sambutan Hari Guru menjadi momen istimewa untuk menghargai jasa dan pengorbanan insan yang banyak membentuk kehidupan masyarakat.
Tidak kira di bandar mahupun luar bandar, guru sentiasa memainkan peranan penting dalam melahirkan generasi masa depan negara.
Sempena sambutan Hari Guru pada 16 Mei ini, McDonald’s Malaysia meneruskan tradisi menghargai warga pendidik menerusi inisiatif khas yang kini memasuki tahun ke-10 penganjurannya.
Sambutan tersebut bukan sekadar program tahunan biasa, malah menjadi sebahagian daripada usaha berterusan syarikat dalam mendekati komuniti serta menyebarkan penghargaan kepada golongan yang banyak berjasa kepada masyarakat.
Menerusi kempen yang berlangsung sepanjang Mei, lebih 300 restoran McDonald’s Malaysia di seluruh negara akan bekerjasama dengan sekolah berhampiran bagi meraikan para guru melalui pelbagai hubungan komuniti, sesi penghargaan dan kejutan istimewa buat warga pendidik.

Usaha tersebut dijangka melibatkan ratusan sekolah dan ribuan guru di seluruh Malaysia, sekaligus menjadikan sambutan tahun ini antara yang terbesar pernah dilaksanakan oleh McDonald’s Malaysia.
Pengarah Urusan dan Rakan Kongsi Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar berkata, guru merupakan individu penting yang bukan sahaja mendidik pelajar di sekolah, malah turut memainkan peranan besar dalam membentuk masyarakat yang lebih baik.
Beliau berkata, penghargaan terhadap guru perlu diteruskan kerana jasa dan pengorbanan mereka memberi impak besar kepada pembangunan negara serta kehidupan generasi muda.
“Guru memainkan peranan penting dalam membentuk individu dan memperkukuh komuniti. Mereka bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi turut menjadi pembimbing dan inspirasi kepada ramai pelajar,” katanya.
Kempen tahun ini dimulakan menerusi beberapa aktiviti tempatan di Pulau Pinang sebelum diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.
Antara acara utama yang berlangsung ialah sambutan khas di McDonald’s Titiwangsa Drive-Thru yang menghimpunkan guru-guru daripada tiga sekolah sekitar iaitu SJK(C) Chiao Nan, SJK(C) Chong Hwa dan SMK Bandar Baru Sentul.

Menariknya lagi, pelbagai aktiviti santai dan interaktif turut disediakan khas untuk para guru bagi memeriahkan sambutan tersebut.
Aktiviti yang dijalankan bukan sahaja menceriakan suasana, malah menjadi simbol penghargaan terhadap dedikasi dan pengorbanan warga pendidik.
Suasana sambutan yang santai dan meriah itu secara tidak langsung memberi peluang kepada guru-guru untuk meluangkan masa bersama rakan pendidik lain sambil menikmati penghargaan yang diberikan atas segala jasa dan komitmen mereka dalam mendidik anak bangsa.
Selain meraikan para pendidik, McDonald’s Malaysia turut menyalurkan sumbangan tunai bagi membantu kerja-kerja baik pulih serta penambahbaikan kemudahan bilik guru di sekolah yang terlibat.
Inisiatif tersebut dilihat sebagai usaha kecil tetapi bermakna dalam memastikan kebajikan dan keselesaan guru terus diberi perhatian.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, inisiatif Hari Guru ini menjadi antara program utama di bawah Program Komuniti @ McDonald’s yang aktif melaksanakan pelbagai aktiviti kemasyarakatan setiap tahun.
Program tersebut bukan sahaja memfokuskan kepada penghargaan terhadap guru, malah turut melibatkan bantuan kepada keluarga yang memerlukan, penghargaan buat petugas barisan hadapan serta pelbagai usaha kebajikan lain.
Melalui pendekatan tersebut, McDonald’s Malaysia terus memperkukuh peranannya sebagai rakan komuniti yang komited dalam membawa impak positif kepada masyarakat.










