SUNGAI PETANI: Bapa kepada bayi berusia 13 hari yang mengalami patah tulang paha ketika menerima rawatan di sebuah hospital di sini berharap siasatan yang telus dan menyeluruh dapat dijalankan bagi memastikan kebajikan anaknya terbela.
Muhammad Nor Fadly Mohd. Shaidi, 38, berkata dia percaya siasatan yang dijalankan sama ada oleh pihak pentadbiran hospital mahupun polis akan dapat mengenal pasti punca sebenar kejadian tersebut.
“Saya dan isteri Nor Shahila Abd. Hamid, 34, akan memberikan kerjasama penuh ketika dipanggil membantu siasatan kerana kami juga ingin tahu puncanya.
“Saya kesal kerana kejdian itu seolah-olah cuba dirahsiakan daripada pengetahuan kami sehinggalah melihat kaki kanannya digantung sebelum dimaklumkan tulang pahanya patah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.
Muhammad Nor Fadly turut menghadiri pertemuan diatur antara pihak pentadbiran hospital berkenaan, petang semalam dan diberi penerangan berkaitan tiga kemungkinan yang menyebabkan tulang paha anaknya patah.
“Mereka memaklumkan kemungkinan tulang itu patah semasa dalam kandungan atau semasa proses pembedahan ketika bersalin dan ketiga mungkin ketika berada bersama ibunya semasa diberikan susu. Namun, siasatan lanjut diteruskan pihak hospital bersama Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya.
Katanya, mereka turut dijanjikan penjagaan kesihatan terbaik termasuk menggunakan khidmat pakar luar untuk pemantauan bayi tersebut, selain semua kos perkhidmatan dan perubatan ditanggung sepenuhnya oleh hospital itu.
“Isteri saya juga akan dirakam keterangan oleh pihak polis berkaitan kejadian itu dalam masa terdekat selepas laporan polis dibuat Isnin lalu,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Kedah, Mansor Zakaria mengesahkan kejadian itu namun enggan mengulas lanjut.
“Saya difahamkan semasa dilahirkan 29 April lalu, tiada kecederaan pada bayi itu sehingga ibu bapanya membuat laporan polis selepas dimaklumkan tulang paha anak mereka patah semasa melawatnya di hospital pada 10 Mei lalu.
“KKM akan membantu melalui siasatan dalaman dan menyerahkan kes kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Isnin lalu, akhbar ini melaporkan Muhammad Nur Fadly membuat laporan polis selepas kesal dengan kejadian menimpa bayi lelakinya yang ketika kejadian didakwa menerima rawatan akibat penyakit jaundis di sebuah hospital di daerah ini. – UTUSAN










