Dalam masyarakat, masih wujud kepercayaan kanak-kanak tidak perlu didedahkan kepada realiti kematian atau kehilangan kerana mereka dianggap belum cukup matang untuk memahaminya.
Kaunselor berdaftar, Nurfarahira Ahmad Yaccob berkata, pendekatan ini sebenarnya boleh mengganggu proses semula jadi kanak-kanak dalam menguruskan emosi duka mereka.
Menurutnya, ramai ibu bapa cenderung menyembunyikan hakikat kehilangan dengan menggunakan bahasa yang lebih lembut seperti ‘pergi jauh’ atau ‘pergi ke syurga’, selain mengelakkan anak-anak daripada menghadiri upacara pengebumian.
“Walaupun niatnya untuk melindungi anak daripada kesedihan, tindakan ini boleh menyebabkan kanak-kanak keliru dan tidak memahami realiti sebenar kematian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Duka yang tidak kelihatan
Menurut beliau, kanak-kanak tidak memproses kesedihan seperti orang dewasa.
Jika orang dewasa mampu meluahkan emosi melalui kata-kata atau tangisan, kanak-kanak pula sering menunjukkan reaksi secara tidak langsung atau dikenali sebagai invisible grief.
Antara tanda yang sering muncul termasuk tingkah laku seperti menghisap ibu jari, kencing malam, perubahan selera makan, menjadi terlalu pendiam atau sebaliknya menunjukkan tingkah laku agresif seperti tantrum.
“Ini bukan tanda mereka tidak faham atau tidak sedih. Ini adalah bahasa badan mereka apabila minda yang masih kecil itu gagal mencari perkataan untuk menggambarkan rasa kehilangan yang besar,” jelasnya.
Lima peringkat duka
Merujuk kepada model lima peringkat duka oleh Elisabeth Kübler-Ross yang turut berlaku dalam kalangan kanak-kanak, namun tidak secara linear kerana proses emosi ini sering bercampur aduk dan tidak tersusun seperti orang dewasa.
Penafian berlaku apabila kanak-kanak masih bertanya tentang individu yang telah meninggal dunia seolah-olah mereka masih hidup.
Pada tahap ini, mereka belum benar-benar mampu menerima realiti kehilangan dan masih bergantung kepada harapan bahawa keadaan boleh kembali seperti asal.
Kemarahan pula muncul apabila kanak-kanak menjadi mudah marah, agresif atau melawan.
Tingkah laku ini sebenarnya merupakan luahan rasa keliru, kecewa dan tidak berdaya terhadap perubahan besar yang berlaku tanpa kawalan mereka.
Tawar-menawar berlaku apabila kanak-kanak cuba ‘berunding’ dengan keadaan melalui janji atau tingkah laku baik, dengan harapan kehilangan dapat dipulihkan atau dibalikkan.
Ini menunjukkan usaha mereka untuk mencari makna dan kawalan terhadap situasi yang sukar difahami.
Kemurungan ditunjukkan apabila kanak-kanak mula menarik diri daripada aktiviti kegemaran, hilang minat untuk bermain serta menunjukkan rasa kosong akibat kehilangan.
Pada peringkat ini, mereka benar-benar merasai kesan emosi kehilangan dalam kehidupan seharian.
Akhir sekali ialah penerimaan, iaitu apabila kanak-kanak mula menyesuaikan diri dengan realiti baharu.
Namun, penerimaan ini tidak bermaksud mereka melupakan, sebaliknya kesedihan masih boleh hadir secara berulang, tetapi dalam bentuk yang lebih terkawal dan stabil.
Ibu bapa sebagai ‘sauh emosi’
Katanya, peranan ibu bapa bukan untuk menghilangkan kesedihan anak, tetapi menjadi “sauh emosi” yang stabil dalam proses mereka berduka.
Antara langkah yang disarankan termasuk penggunaan bahasa yang jujur dan sesuai dengan tahap umur kanak-kanak, mengelakkan istilah yang mengelirukan seperti ‘pergi tidur’ atau ‘pergi jauh’.
Selain itu, ibu bapa digalakkan untuk mengesahkan emosi anak dengan memberikan ruang untuk mereka bersedih tanpa menghakimi.
“Apabila kita berkata ‘tak apa untuk menangis’, kita sebenarnya membantu proses penyembuhan emosi mereka,” jelasnya.
Beliau turut menekankan kepentingan ruang ekspresi melalui aktiviti seperti melukis, bermain atau menulis, yang boleh menjadi medium luahan emosi kanak-kanak.
Dalam masa yang sama, mengekalkan rutin harian seperti waktu makan, tidur dan persekolahan amat penting bagi memberi rasa selamat kepada kanak-kanak dalam situasi yang tidak stabil.
Jika tanda-tanda kesedihan berpanjangan atau berkembang menjadi kemurungan, ibu bapa disarankan mendapatkan bantuan daripada kaunselor berdaftar atau pakar kesihatan mental.
Membina ketahanan emosi
Nurfarahira berkata, kehilangan adalah sebahagian daripada kehidupan yang tidak boleh dielakkan.
Justeru, usaha melindungi anak secara berlebihan daripada realiti hanya akan menambah kekeliruan dan ketakutan dalam diri mereka.
“Apabila kita duduk bersama mereka dalam kesedihan, mendengar tanpa menghakimi, kita sebenarnya sedang membina ketahanan emosi atau resilience yang sangat penting untuk masa depan mereka,” katanya.
Kanak-kanak mungkin kecil dari segi usia, namun memiliki keupayaan emosi yang besar untuk memahami kehilangan jika diberi ruang, bimbingan dan kejujuran dalam proses tersebut.










