Empat parti baharu bakal sertai PN?

Empat parti baharu bakal sertai PN?

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Empat parti baharu bakal menyertai Perikatan Nasional (PN) dan perkara itu dijangka disahkan dalam mesyuarat PN pada16 Mei ini di sebuah hotel di ibu negara.

Difahamkan, antara parti tersebut adalah Parti Berjasa Malaysia (Berjasa), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) dan Parti Perikatan India Muslim Nasional (Iman).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ahli Majlis Tertinggi PN, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, satu mesyuarat sememangnya akan diadakan pada tarikh tersebut, namun enggan mengulas lanjut berhubung agenda perbincangan.

“Ada mesyuarat pada 16 Mei ini, tetapi saya tidak boleh sahkan agenda mesyuarat kerana perkara itu sulit. Namun akan dimaklumkan selepas daripada mesyuarat tersebut,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, Presiden Berjasa, Zamani Ibrahim berkata, permohonan itu telah dihantar sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan Pengerusi PN.

Katanya, penyertaan Berjasa dalam PN diyakini mampu menambah kekuatan gabungan tersebut menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

“Berjasa memang mohon untuk sertai PN sebelum ini lagi, sejak Tan Sri Muhyiddin Yassin memegang jawatan Pengerusi PN. Kita minta untuk mereka menerima Berjasa untuk menjadi anggota penuh, sebab pada kita kalau bergabung, kita dapat menyumbang kekuatan pada PRU-16 nanti, diberi peluang untuk berbincang dan berunding bagi memperkukuh kedudukan parti gabungan PN,” katanya.

Katanya, kekuatan tersebut adalah daripada hampir 100,000 ahli dimana mempunyai ketokohan yang ramai, sekali gus mampu menyumbang kepada kekuatan PN.

“Saya ada berhubung dengan Datuk Seri Mukhriz Mahathir minggu lalu dan memohon untuk dua parti ini dipertimbangkang menjadi anggota penuh iaitu Berjasa dan Pejuang,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali turut berkata, tiada sebab untuk PN tidak menerima Putra sebagai anggota penuh.

“Saya yakin Putra akan diterima anggota anggota penuh PN, tidak ada Putra tidak diterima kerana kita memenuhi syarat sebagai sebuah parti yang bersih, stabil, malah matlamat perjuangan Putra tidak ada beza dengan PN.

“Sebab itu itu saya yakin usia Putra menjangkau tujuh tahun, layak dari segi usia dan kita tidak ada masalah dalam struktur organisasi. Setakat ini kita mempunyai 64 bahagian yang aktif dengan jumlah ahli berbayar seramai 40,000 orang ahli,” katanya.

Selain itu, Ketua Penerangan Pejuang, Rafique Rashid juga berharap dengan gabungan PN ini, ia dapat memperkukuh kedudukan dalam satu bentuk kerjasama mendepani PRU tidak lama lagi.

“Keperluan utama sekarang adalah penyatuan semua pihak yang membangkang Kerajaan serta beri pilihan mudah atas kertas undi bagi rakyat, agar isu-isu rakyat dapat ditangani secara menyeluruh.

“Untuk menurunkan Kerajaan yang telah gagal Pejuang berharap gabungan PN dapat diperkukuh segara serta kerja-kerja menuju pilihan raya dipercepatkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN