Iraq, Pakistan meterai perjanjian tenaga dengan Iran

Iraq, Pakistan meterai perjanjian tenaga dengan Iran

PEKERJA Syarikat Minyak Basra bertugas di Lapangan Minyak dan Gas Nahr Bin Umar di pinggir bandar Basra, selatan Iraq.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGHDAD: Iraq dan Pakistan dilaporkan memeterai perjanjian dengan Iran untuk menghantar minyak serta gas asli cecair (LNG) dari Teluk, sekali gus memperkukuh kemampuan Teheran mengawal aliran tenaga melalui Selat Hormuz, menurut lima sumber yang mengetahui perkara itu.

Perang Amerika Syarikat (AS)-Israel dengan Iran menjejaskan eksport tenaga dari rantau yang lazimnya membekalkan 20 peratus minyak mentah dan LNG global.

AS turut mengenakan sekatan terhadap pelabuhan Iran sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Menurut Pakar Institut Pengajian Tenaga Oxford, Claudio Steuer, walaupun Iran pada awalnya berusaha menghentikan trafik perkapalan melalui selat berkenaan, pendirian itu kini dilihat semakin berubah.

“Iran kini beralih daripada menyekat Selat Hormuz kepada mengawal akses ke laluan itu. Selat Hormuz bukan lagi laluan transit berkecuali, sebaliknya sudah menjadi koridor yang dikawal,” katanya.

Dengan kebanyakan eksport minyak mentah biasanya dihantar melalui selat itu, Iraq antara pengeluar paling terjejas akibat penutupan itu, manakala Pakistan yang cuba bertindak sebagai orang tengah dalam konflik tersebut amat bergantung kepada import tenaga dari Teluk dan berdepan kenaikan kos bahan api.

Dalam perjanjian antara Baghdad dan Teheran yang belum pernah dilaporkan sebelum ini, Iraq memperoleh laluan selamat bagi dua kapal pengangkut besar, masing-masing membawa kira-kira dua juta tong minyak mentah untuk melalui Selat Hormuz pada Ahad lalu.

Seorang pegawai kementerian minyak Iraq yang arif mengenai perjanjian awal dan rundingan semasa memberitahu Reuters, Iraq kini sedang berusaha mendapatkan kelulusan Iran bagi lebih banyak transit kapal ketika kerajaan cuba melindungi hasil minyak yang menyumbang 95 peratus daripada belanjawan negara.

“Iraq adalah sekutu rapat Iran dan sebarang kemerosotan ekonomi Iraq turut akan menjejaskan kepentingan ekonomi Iran di negara itu,” kata pegawai berkenaan.

Seorang lagi pegawai kementerian minyak Iraq dan sumber industri perkapalan turut mengesahkan rundingan dengan Teheran itu.

Negara lain dilaporkan turut mempertimbangkan perjanjian serupa, sekali gus berpotensi menjadikan kawalan Teheran ke atas laluan perairan itu sebagai sesuatu yang lebih kekal.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN