JOHOR BAHRU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor telah melaksanakan kerja-kerja pembersihan ekoran berlakunya insiden pencemaran bahan kimia di tali air di Kampung Baru Sri Aman, Kempas, di sini kelmarin.
Penolong Pegawai Kawalan Kanan Alam Sekitar JAS Johor, Muhammad Faiz Mohd. Shafie berkata, operasi pembersihan tersebut dijalankan bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi hari ini.
Menurut beliau, selain 12 pegawai dan anggota JAS, operasi pembersihan itu turut dibantu seramai 26 sukarelawan dari Jabatan Amal Malaysia Negeri Johor Zon Selatan.
“Tumpuan kerja-kerja pembersihan hari ini adalah melihat saki baki pencemaran yang masih melekat di tebing-tebing alur anak sungai berdekatan dengan rumah penduduk yang terlibat.
“Kaedah digunakan adalah dengan menggunakan ‘oil boom’ dan ‘absortion pad’ serta kaedah manual seperti cangkul dan ‘scoop’ bagi membuang sisa pencemaran yang melekat di tebing, rumput dan kayu di anak sungai,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, insiden pencemaran di Kampung Baru Sri Aman, Kempas itu telah mengakibatkan seramai 128 mangsa daripada 37 keluarga dipindahkan ke balai raya kampung berdekatan, manakala empat lagi dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan akibat sesak nafas.
Tambah Muhammad Faiz, walaupun pihaknya telah selesai melakukan kerja-kerja pembersihan awalan, namun operasi pemantauan akan diteruskan dari masa ke semasa.
Semalam, Pengarah JAS Johor, Dr. Famey Yusof memaklumkan pihaknya akan menghantar sampel yang diambil di lokasi yang tercemar sisa buangan industri yang bertoksik itu untuk mengenal pasti premis yang membuat pelupusan secara haram dan jenis bahan toksik yang dibuang secara terperinci.
Beliau berkata, sampel tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia di Petaling Jaya yang menempatkan makmal lengkap bagi menentukan bahan toksik berkenaan kerana ia memerlukan penganalisaan terperinci. – UTUSAN










