SINGAPURA: Mahkamah Tinggi pada Khamis meluluskan rayuan pihak pendakwa dan membatalkan pembebasan tiga wanita berhubung penganjuran perarakan pro-Palestin ke Istana.
Lapor Berita Mediacorp, Mossammad Sobikun Nahar, 26; Siti Amirah Mohamed Asrori, 31; dan Annamalai Kokila Parvathi, 37; masing-masing dedenda 3,000 dolar Singapura (RM9,352).
Hakim, See Kee Oon memutuskan hakim perbicaraan mereka tersilap undang-undang kerana tidak menggunakan ujian undang-undang yang betul.
Kee Oon berpendapat ketiga-tiga mereka sepatutnya, secara munasabah, membuat pertanyaan yang wajar sehingga mengetahui kewujudan perintah larangan berkaitan.
Ketiga-tiga wanita itu disabit kesalahan atas satu tuduhan setiap seorang di bawah Akta Ketenteraman Awam kerana menganjurkan perarakan bagi mempromosikan tanda solidariti dengan rakyat Palestin antara 2.00 petang dengan 3.00 petang pada 2 Februari 2024 di luar pekarangan Istana.
Mereka merupakan sebahagian daripada kumpulan kira-kira 70 orang yang berjalan dari pusat beli-belah Plaza Singapura ke pintu belakang Istana untuk menyerahkan surat mengenai isu Palestin kepada Pejabat Perdana Menteri di Istana dan mempunyai peti penyerahan surat di situ.
Ketiga-tiga wanita itu mencabar tuduhan di mahkamah daerah dan telah dibebaskan oleh Hakim Daerah, John Ng selepas perbicaraan.
John Ng berpendapat mereka tidak mengetahui laluan yang digunakan adalah kawasan larangan di bawah Akta Ketenteraman Awam.
Namun, Ketua Pendakwa Raya, Hay Hung Chun pada Jumaat berhujah, John Ng mengelirukan konsep pengetahuan sebenar dengan persoalan sama ada mereka sepatutnya, secara munasabah, mengetahui tindakan mereka dilarang.
Peguam bela, Derek Wong memohon mahkamah rayuan menolak rayuan itu sepenuhnya dan mengekalkan dapatan hakim daerah.
Semasa prosiding, Kee Oon berkata, beliau berasa ‘kurang senang’ dan ‘terganggu’ apabila mendapati alasan lisan ringkas hakim daerah sebenarnya lebih panjang daripada alasan bertulis muktamadnya.
Selepas sabitan, pihak pendakwa menyerahkan hukuman kepada mahkamah dan tidak memohon hukuman penjara. Peguam Wong memohon denda 3,000 dolar Singapura dan jumlah itu dipersetujui hakim.










