Wujudkan Akta TVET pastikan kualiti pendidikan berkesan - Utusan Malaysia

Wujudkan Akta TVET pastikan kualiti pendidikan berkesan

ZAINI UJANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Akta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu diwujudkan bagi memastikan kualiti sistem pendidikan tersebut dilaksanakan secara berkesan.

Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Datuk Seri Dr. Zaini Ujang berkata, akta tersebut mampu memperkasa sistem berkenaan di negara ini.

“Akta TVET perlu ditubuhkan. Namun, penggunaan istilah TVET dilihat perlu diperhalusi memandangkan skopnya yang semakin luas dan tidak lagi terhad kepada bidang teknikal semata-mata, malah merangkumi bidang lain seperti bahasa.

“Definisi TVET ketika ini agak longgar. Justeru, akta khas diperlukan bagi memperjelas skop serta memperkukuh pemantauan,” katanya dalam Forum Kongres Pendidikan Bumiputera 2026 bertajuk Menilai Dasar-Dasar Pendidikan Bumiputera di sini semalam.

Dalam pada itu, Zaini berkata, penubuhan itu penting disebabkan kualiti graduan di negara ini yang standing dengan pelajar antarabangsa.

Malah katanya, graduan di negara ini mempunyai potensi untuk menembusi pasaran kerja di negara maju.

“Malaysia mampu membekalkan tenaga professional ke peringkat antarabangsa seperti doktor pakar ke United Kingdom (UK) dan jurutera ke Arab Saudi tanpa menjejaskan keperluan domestik.

“Situasi tersebut hanya mampu direalisasikan sekiranya negara memiliki tenaga profesional yang mencukupi serta sistem pendidikan yang baik dan berdaya tahan,” jelasnya.

Zaini dalam masa yang sama berkata, mentaliti rakyat di negara ini perlu diubah agar tanggapan ‘brain drain’ ditukar dan dianggap sebagai ‘brain main’.

“Ia diibaratkan sebagai satu paip yang bekalkan air sangat besar. Ini bermakna boleh ditafsir sebagai aliran bakat global yang memberi manfaat kepada negara.

“Contohnya doktor pakar ke United Kingdom (UK) atau jurutera ke Arab Saudi. Ini hanya boleh berlaku jika kita mempunyai kapasiti bakat yang mencukupi dan sistem yang kukuh,” jelasnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN