GSF 2.0: Malaysia guna pelbagai saluran diplomasi bebaskan peserta

GSF 2.0: Malaysia guna pelbagai saluran diplomasi bebaskan peserta

ANWAR Ibrahim
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Malaysia akan menggunakan pelbagai saluran diplomasi termasuk menghubungi beberapa pemimpin negara luar bagi memberi tekanan kepada Israel supaya membebaskan kesemua 10 rakyat Malaysia yang diculik Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, beliau sedaya upaya akan menggunakan apa juga ruang diplomasi untuk membebaskan rakyat Malaysia.

“Kita sekarang tengah ambil apa juga ikhtiar, hubungi sahabat-sahabat kita di negara Teluk, negara Arab untuk cari jalan lepaskan mereka (10 rakyat Malaysia) daripada tahanan Israel.

“Saya hubungi Kementerian Luar dan juga hubungi negara sahabat (lain) yang boleh saya hubungi, saya akan hubungi Insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman di sini, hari ini.

Beliau turut mengecam tindakan ‘gila’ rejim Zionis yang terdesak apabila sanggup menahan peserta konvoi kapal pelayaran dalam misi menghantar bantuan ke Gaza.

Sehubungan itu, beliau mengajak seluruh masyarakat mendoakan supaya nasib rakyat Malaysia termasuk peserta GSF dalam keadaan selamat.

“Pertama, tentunya kita doakan keselamatan bukan saja buat rakyat Malaysia tapi rakyat yang terbabit dalam penahanan oleh rejim Zionis Israel. Kebanyakan mereka itu ditahan di perairan antarabangsa. Itu satu kerja gila yang tidak menghormati langsung prinsip.

“Kedua, yang selamat itu ada yang terpaksa beralih masuk ke lautan kawasan Greece dan di situ dijamin oleh kerajaan, tentera laut Greece. Ini bukan langgar kawasan Israel lagi kerana masih dalam kawasan (perairan) antarabangsa.

“Demikian kezaliman yang berterusan. Dia (Israel) tak puas hati dengan bunuh wanita dan kanak-kanak. Dia tak puas hati serang Iran, Lubnan, Gaza dan sekarang (tak puas dengan) orang-orang yang nak bantu bukan bawa senjata tapi makanan, minuman, ubat-ubatan dan beberapa kelengkapan (lain seperti) pakaian,” katanya.

Sejak semalam nasib 10 rakyat Malaysia yang ditawan rejim Zionis, masih belum diketahui.

Bagaimanapun, difahamkan, terdapat 20 bot digunakan rejim Zionis untuk memindahkan peserta GSF yang ditahan untuk dibawa ke Greece namun masih belum ada perkembangan mengenai keberadaan rakyat Malaysia.

Mereka yang ditahan setakat ini adalah pengasas ZRA Strim, Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III, Mohd.

Hanafi Mohd. Salim (Bianca BCN), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman (Bianca BCN), Norhelmi Ab. Ghani (Bianca BCN), Hazwan Hazim Dermawan (Bianca BCN).

Turut ditahan, Osman Zolkifli (Eros 1), Dr. Jihan Alya Mohd. Nordin (Eros 1), Mohd. Shamsir Mohd Isa (Esplai II), Mohd Redzal Amzah (Freia) dan Muhamad Muhsin Zaidi (Marea).

Semalam, Pusat Gerakan Operasi Sumud Nusantara (SNCC) mengesahkan 10 rakyat Malaysia antara 186 peserta terputus hubungan pada hari ke-18 misi kemanusiaan GSF.

Sebanyak 22 daripada keseluruhan 63 kapal dilaporkan dipintas pihak berkuasa Israel di perairan Mediterranean berhampiran Kepulauan Crete, Greece.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN