MoU: Kedudukan Ismail Sabri lebih kuat tidak layan tuntutan kluster mahkamah - Utusan Malaysia

MoU: Kedudukan Ismail Sabri lebih kuat tidak layan tuntutan kluster mahkamah

TONY PUA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini berada pada kedudukan yang kukuh untuk menolak sebarang tuntutan kluster mahkamah melibatkan pemimpin UMNO selepas termeterainya memorandum persefahaman (MoU) antara kerajaan Pusat dan Pakatan Harapan (PH) semalam.

Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua berkata, jika MoU berkenaan tidak ditandatangani, kedudukan Ismail Sabri akan menjadi lemah kerana harus melayani tuntutan-tuntutan berkenaan.

“Dengan MOU yang dimeterai ini, kita berharap Ismail Sabri tidak perlu lagi mengendahkan tuntutan mereka termasuk untuk melantik ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan Pusat dan PH semalam melakar satu sejarah negara apabila termeterainya MoU Transformasi dan Kestabilan Politik yang ditandatangani antara Perdana Menteri dan PH di Bangunan Parlimen.

Tony menambah, menerusi MoU tersebut, malah Ismail Sabri tidak perlu melayan sebarang tuntutan kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana kegagalan memenuhi permintaan Ahli Parlimen Gombak itu tidak menjejaskan kedudukan Perdana Menteri.

Beliau justeru berkata, rakyat merupakan pemenang susulan termeterainya MoU tersebut.

Sebaliknya Tony menjelaskan MoU tersebut tidak bermaksud PH atau beliau sendiri menyokong pentadbiran pimpinan UMNO dan Ismail Sabri.

“MoU itu hanya bermaksud bahawa rakyat sekarang akan memperoleh kestabilan untuk menangani Covid-19 dan ekonomi dan bukannya terus-menerus sibuk dengan percubaan berulang kali untuk merebut kekuasaan oleh mana-mana pihak yang mengaku memiliki majoriti yang kuat dan meyakinkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN