Eco-shop amal pendekatan langsung dalam urusan barangan

Eco-shop amal pendekatan langsung dalam urusan perolehan barangan

JESSICA NG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH 

ECO-Marketing Bhd. baru-baru ini melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) terbesar negara dalam tempoh lapan bulan dengan sasaran menjana RM419.87 juta di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

Syarikat itu dilihat kekal yakin dengan prospek syarikat disokong oleh asas yang kukuh meskipun terdapat ketidakpastian dalam sentimen pasaran dan ekonomi.

Eco-Marketing Bhd. juga dijadual dalam penyenaraian Eco-Shop di Pasaran Utama pada 23 Mei ini. 

Baru-baru, wartawan Utusan Malaysia, Zakkina Wati Ahmad Tarmizi dan jurugambar,  Muhamad Iqbal Rosli berpeluang menemubual Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Eco-Shop, Jessica Ng mengenai model perniagaannya akan terus kekal kukuh meskipun berdepan cabaran akibat sentimen pasaran.

UTUSAN: Apakah strategi utama Eco-Shop untuk mengekalkan harga rendah seperti RM2.60 bagi setiap produk?

JESSICA: Strategi Eco-Shop untuk mengekalkan harga kompetetif tetap pada RM2.60 di Semenanjung Malaysia dan RM2.80 di Sabah, Sarawak dan Langkawi, selaras dengan matlamat kami untuk memudahkan kehidupan dengan menawarkan produk harian pada harga yang rendah dan mampu milik. 

Kami menyediakan pelbagai produk keperluan harian serta barangan dagangan am, termasuk sejumlah besar produk jenama sendiri yang menawarkan nilai menarik kepada pelanggan.

Selain itu, kami menerapkan strategi ‘flywheel’, di mana model perniagaan kami yang berasaskan skala besar dan volum tinggi yang membolehkan kami mengoptimumkan kos melalui kecekapan dalam pembelian pukal, pengurusan rantaian bekalan dan operasi harian. 

Pengoptimuman kos ini sejurusnya membolehkan kami menawarkan harga yang kompetitif, dan menarik lebih ramai pelanggan dan meningkatkan volum jualan. Kitaran ini memperkukuh skala operasi kami, membolehkan penjimatan kos yang berterusan tanpa menjejaskan kualiti atau kepelbagaian produk yang ditawarkan.

 

Bagaimana Eco-Shop memilih pembekal dan menguruskan kos operasi agar kekal kompetitif?

Satu daripada kelebihan daya saing Eco-Shop ialah pengalaman luas para pengasas dan pasukan pengurusan kami dalam industri runcit. 

Pengalaman ini merupakan tunjang yang membantu syarikat kami membina rangkaian pembekal yang kukuh dan meluas. 

Selain itu, Eco-Shop mengamalkan pendekatan langsung dalam urusan perolehan barangan dagangan, iaitu dengan penyumberan langsung daripada pembekal dan pengilang, sekali gus menghapuskan keperluan kepada pihak pengantara, pemborong atau pengedar. 

Dengan model ini, kami bukan sahaja menjimatkan kos, malah dapat memastikan kawalan yang lebih baik terhadap kualiti dan konsistensi produk kami.

Pasukan perolehan dan perdagangan kami juga menjalankan lawatan berkala ke lokasi pembekal, termasuk luar negara, bagi memastikan pilihan produk yang pelbagai dan bersaing dari segi harga serta trend.

Ini membolehkan Eco-Shop menawarkan barangan yang sentiasa relevan dan memenuhi kehendak pasaran semasa. Skala operasi kami yang besar turut memberi manfaat untuk rundingan terma yang lebih baik dengan pembekal- pembekal kami. 

Keupayaan untuk membuat tempahan dalam kuantiti besar memberikan kami kelebihan dari segi diskaun harga, jaminan stok, serta kestabilan harga dalam jangka masa panjang.

 

Apakah faktor kejayaan utama yang mendorong pertumbuhan pesat Eco-Shop di seluruh negara?

Faktor kejayaan utama yang mendorong pertumbuhan Eco-Shop di seluruh negara adalah beberapa faktor yang saling berkaitan.

Pertamanya, kami menawarkan produk relevan yang dijual pada harga yang kompetitif dan konsisten. Ini memberikan pelanggan kami keyakinan untuk membeli produk kami, terutamanya dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.

Kedua, kepelbagaian dan campuran produk kami yang amat luas memainkan peranan

penting dalam menarik pelanggan daripada pelbagai lapisan masyarakat. 

Selain itu, model perniagaan yang cekap dan berskala memberi kelebihan dalam memperluaskan operasi.

Dengan pengendalian secara langsung ke atas semua cawangan, kami dapat memastikan kawalan sepenuhnya terhadap pengalaman pelanggan serta kecekapan operasi yang konsisten.

Kecekapan operasi kami yang disokong oleh rantaian bekalan yang kukuh serta penyumberan langsung daripada pembekal dan pengilang membolehkan Eco-Shop bertindak balas dengan cepat terhadap perubahan permintaan pasaran.

Ini juga membantu menge­kalkan kecekapan kos dan memastikan kebolehsuaian kami dalam menghadapi pelbagai keadaan pasaran.

 

Apakah cabaran terbesar yang pernah dihadapi oleh Eco-Shop dan bagaimana syarikat mengatasinya?

Satu daripada cabaran awal adalah membina bisnes yang mampan untuk jangka panjang daripada mewujudkan rangkaian logistik, mengurus inventori secara berkesan, hinggalah memenuhi permintaan pelanggan yang sentiasa berubah. 

Antara detik paling mencabar adalah apabila kos meningkat. 

Namun begitu, kami tetap teguh dengan komitmen untuk mengekalkan harga mampu milik dan berpatutan selama mungkin.

Dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekalipun, pelanggan masih boleh bergantung kepada Eco-Shop untuk keperluan harian mereka.

Selain itu, proses penyelidikan untuk mencari lokasi yang strategik bagi pembukaan kedai baharu amat mencabar dan turut mengambil masa. 

Lokasi yang strategik sangat penting untuk memastikan capaian kepada komuniti setempat dan kelancaran operasi kedai. Perjalanan kami ke arah korporatisasi juga menuntut perancangan dan ketekunan kami bermula sebagai perniagaan keluarga kepada syarikat yang kini bersedia melangkah ke tahap seterusnya dan sebagai syarikat yang tersenarai pada papan utama Bursa Malaysia. 

Apa yang mendorong kami untuk terus maju and melangkah ke hapadan adalah misi kami yang jelas dan sokongan yang kukuh daripada pelanggan setia dan pasukan Eco-Shop.

 

Bagaimana Eco-Shop menangani persaingan daripada kedai seperti MR D.I.Y, Ninso dan kedai bajet lain?

Sementara rangkaian kedai lain memberi tumpuan kepada kategori khusus seperti barangan pembaikan rumah atau barangan gaya hidup yang diimport, Eco-Shop kekal berteraskan penawaran barangan keperluan harian pada harga tetap dan mampu milik.

Model kami ringkas, harga yang jelas, kadar pusing ganti produk yang tinggi dan kebolehcapaian yang meluas. 

Keunikan model kami terletak pada struktur harga tetap, pemilihan barangan laris yang teliti serta capaian menyeluruh ke akar umbi, termasuk kawasan yang sering terpinggir oleh peruncit lain.

 

Adakah Eco-Shop merancang untuk beralih ke platform e-dagang atau memperkenalkan aplikasi mudah alih?

Pada masa ini, kami tidak merancang untuk beralih kepada platform e-dagang atas beberapa pertimbangan strategik.

Salah satu kelebihan kami adalah sebagai kedai kejiranan dimana pelanggan boleh mendapatkan keperluan harian secara pantas and mudah. 

Peralihan kepada e-dagang mungkin menambah kos kepada pelanggan seperti caj penghantaran dan yuran platform, yang boleh menjejaskan nilai mampu milik yang menjadi asas penawaran kami. 

Selain itu, kebanyakan platform e-dagang mungkin menetapkan syarat pembelian minimum. Ini tidak selaras dengan pengalaman membeli-belah di kedai fizikal.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×