Honda perkenal e:N1, pelancaran BEV sulung

Honda perkenal e:N1, pelancaran BEV sulung pacu masa depan elektrik

SARLY Adle Sarkum (kiri), Narushi Yazaki (tengah) dan Naib Presiden Unit Perniagaan Jualan Honda Malaysia, Sunita Prabhakaran semasa sidang media selepas pelancaran kereta elektrik e:N1 di MITEC. – UTUSAN/SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Honda Malaysia melancarkan model kenderaan elektrik (EV) pertamanya, e:N1 menandakan langkah rasmi jenama itu dalam segmen mobiliti elektrik tempatan.

Model SUV elektrik sepenuhnya itu diimport sepenuhnya (CBU) dari China dan ditawarkan pada harga pengenalan RM149,900 sehingga Disember 2025 atau sementara stok masih ada.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki berkata, pelancaran ini adalah detik penting bagi syarikat dan bakal menjadi penanda aras bagi pengembangan model EV Honda di Malaysia.

Beliau berkata, walaupun segmen EV kini hanya merangkumi satu hingga dua peratus pasaran, Honda melihat potensi jangka panjang teknologi ini dan merancang untuk memperluaskan barisan model elektrik secara berperingkat.

“Kami mahu menawarkan pelbagai teknologi yang memenuhi permintaan pengguna. Ketika ini, enjin pembakaran dalaman dan hibrid masih relevan untuk kegunaan harian, namun EV adalah masa depan mobiliti peribadi,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran model BEV pertamanya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa (MITEC). 

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda Malaysia, Sarly Adle Sarkum berkata, walaupun dasar pengecualian duti untuk EV akan tamat pada hujung 2025, pihaknya berharap kerajaan akan mempertimbangkan lanjutan insentif tersebut.

Katanya, perancangan pemasangan tempatan (CKD) untuk model EV akan hanya dapat direalisasikan sekiranya terdapat insentif jangka panjang.

“Jika CKD dimulakan pa­da 2027, tempoh sekurang-kurangnya lima tahun diperlukan untuk pulangan pelaburan. Jadi, industri amat memerlukan kesinambungan dasar dan sokongan kerajaan,” ujarnya.

Honda turut mengesahkan bahawa e:N1 akan dihantar kepada pelanggan bermula pertengahan Jun menerusi lapan pengedar yang telah dikenal pasti sebagai pusat servis pakar EV.

Mengulas mengenai perancangan masa depan, Narushi berkata, Honda akan memperkenalkan dua lagi model EV dalam tempoh tiga tahun akan datang sebagai sebahagian strategi memperkukuh kehadiran jenama itu dalam pasaran mobiliti elektrik negara.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan masa depan akan bergantung kepada perkembangan permintaan pengguna dan dinamik harga dalam pasaran EV yang sangat pantas berubah.

Mengenai sokongan kepada infrastruktur EV, Narushi berkata Honda komited terhadap pemilikan jangka hayat menyeluruh, termasuk aspek perkhidmatan selepas jualan dan nilai jualan semula, namun belum bersedia mendedahkan penglibatan lanjut dalam pembinaan infrastruktur pengecasan.

“Honda sentiasa menilai keperluan pemilik bukan sekadar dari aspek pembelian, tetapi keseluruhan pengalaman pemilikan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN