MIROS perlu buat kajian had lesen memandu warga emas - Utusan Malaysia

MIROS perlu buat kajian had lesen memandu warga emas

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Satu kajian terperinci perlu dijalankan terlebih dahulu sebelum sebarang perubahan dasar dilaksanakan berhubung cadangan agar kerajaan mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas.

Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook menjelaskan lagi, apa-apa perubahan dasar dan syarat untuk lesen pemandu juga mesti diputuskan terlebih dahulu oleh Kementerian Pengangkutan dan bukannya agensi lain dalam kerajaan.

Menurutnya, dasar dan syarat baharu untuk lesen pemandu bukan di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebaliknya lesen kepada setiap pemandu dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berdasarkan peruntukan-peruntukan dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

“Di bawah Kementerian Pengangkutan, terdapat sebuah agensi khusus untuk membuat kajian terhadap semua dasar dan isu teknikal mengenai isu keselamatan jalan raya iaitu MIROS.

“Isu mengenai syarat tambahan kepada pemandu warga emas pernah dibincangkan semasa saya mengetuai Kementerian Pengangkutan. Namun, pada ketika itu saya berpendapat cadangan tersebut memerlukan kajian yang terperinci kerana ia mungkin disalah erti sebagai satu bentuk diskriminasi kepada pemandu warga emas.

“Kalau mengikut statistik kemalangan jalan raya, lebih ramai pemandu muda terlibat dalam kemalangan jalan raya daripada pemandu yang berumur. Saya berharap pihak MIROS akan membuat kajian terperinci dalam perkara ini sebelum sebarang perubahan dasar dilaksanakan,” katanya.

Siew Fook yang juga Ahli Parlimen Seremban berkata demikian dalam kenyataan bagi mengulas cadangan PDRM agar kerajaan mengehadkan pengeluaran lesen memandu kepada warga emas.

Cadangan itu dibuat susulan hasil kajian Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Bukit Aman mendapati peningkatan umur ketika memandu penyumbang kepada kemalangan jalan raya.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, keadaan itu berlaku kerana masalah kesihatan dihadapi pemandu berusia.

Kata beliau, golongan berkenaan terdedah kepada penyakit seperti alzheimer, masalah mata dan lain-lain yang secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kemalangan di jalan raya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.