Mesin oksigen kini jadi 'nyawa' buat Nur Qaira Qalisha

Mesin oksigen kini jadi ‘nyawa’ Nur Qaira

MOHD. Suhaimi Jasmin bersama isterinya, Asfanizan Othman mendukung Nur Qaira yang kini bergantung pada mesin oksigen ekoran mengalami masalah saluran nafas sempit di Taman Sinar Sedili, Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor. - FOTO/MASTURAH SURADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Sepasang suami isteri terus teruji apabila nyawa bayi mereka kini terpaksa bergantung kepada mesin oksigen yang perlu dipakai 24 jam sehari.

Mohd. Suhaimi Jasmin, 25, bekata, bayinya Nur Qaira Qalisha, lima bulan, mengalami masalah saluran pernafasan sempit sejak lahir selain turut menggunakan saluran tiub khas untuk menyusu.

Malah, disebabkan tidak mampu untuk membeli mesin oksigen yang berharga ribuan ringgit itu, dia kini terpaksa menyewa dan perlu membayar secara bulanan untuk kegunaan anak pertamanya itu.

“Sejak dilahirkan Nur Qaira dirawat di hospital sehingga usianya empat bulan dan kini dia dibenarkan pulang ke rumah bulan lepas namun memerlukan penjagaan yang rapi.

“Masalah saluran pernafasan sempit memerlukan dia sokongan mesin oksigen untuk bernafas. Selain itu ususnya yang terkeluar juga membuatkan saya dan isteri Asfanizan Othman, 33, amat berhati-hati dalam menjaganya.

“Disebabkan itu saya yang bekerja kampung sering kali tidak dapat bekerja kerana isteri tidak dapat menguruskan anak sendirian lebih-lebih lagi apabila tiub dipasang dimulutnya tercabut sebelum Nur Qaira meragam,” katanya ketika ditemui di Taman Sinar Sedili, Tanjung Sedili.

Mohd. Suhaimi berkata, bagi kos sewaan mesin oksigen serta tong oksigen itu dia perlu membelanjakan sebanyak RM700 yang dikenakan untuk tempoh dua bulan.

Katanya jumlah itu belum termasuk susu, lampin pakai buang, ubat-ubatan dan lain-lain keperluan yang boleh mencecah sehingga RM1,500 sebulan secara keseluruhan.

“Sebagai seorang bapa memang agak buntu tambahan pula permohonan bantuan bulanan yang dipohon masih belum diluluskan. Nur Qaira juga perlu jalani rawatan bulanan. Buat sementara ini kami menyewa ambulans untuk membawanya ke Johor Bahru.

“Kami amat bimbang dengan keadaan kesihatannya yang terpaksa bergantung dengan mesin oksigen jadi kami tidak mahu ambil risiko dengan menaiki kereta tambahan pula ambulans mempunyai kelengkapan jika berlaku kecemasan kepada anak,” katanya.

Utusan Malaysia sebelum ini pernah menyiarkan kisah pasangan itu yang diuji dengan masalah kesihatan anak mereka selepas enam tahun menanti kehadiran cahaya mata.

Sejak dilahirkan pasangan itu dan ahli keluarga lain tidak pernah berkesempatan mendukung Nur Qaira kerana dirawat di hospital dan sering berulang alik ke hospital sekiranya diminta pihak hospital.

Orang ramai yang mahu membantu meringankan beban pasangan itu boleh salurkan ke akaun Bank Nasional Berhad (BSN) milik Asfanizan 0199541100331054 atau boleh menghubungi talian 011-2771 4319. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN