Korda rampas semula takhta No.1 dunia

Korda rampas semula takhta No.1 dunia

Gaya Nelly Korda sebelum melakukan pukulan putt dalam pusingan akhir Kejuaraan Chevron di Houston, semalam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HOUSTON: No.1 dunia kembali menjadi milik Nelly Korda selepas bintang Amerika Syarikat (AS) itu mempamerkan aksi dominan untuk menjuarai Kejuaraan Chevron LPGA di Houston, sekali gus menghadiahkan gelaran utama ketiganya, semalam.

Korda yang mendahului sejak hari pertama menutup saingan dengan catatan dua bawah par 70 untuk menang lima pukulan di Memorial Park Golf Course, meninggalkan pencabar terdekat dari China, Yin Ruoning dan Thailand, Patty Tavatanakit.

Dominasi wire-to-wire itu meletakkan Korda dalam kelompok elit apabila menjadi pemain ketiga dalam tempoh 50 tahun memenangi major selepas mendahului setiap pusingan dengan kelebihan selesa.

“Sejujurnya, memiliki kelebihan besar bukan sesuatu yang mudah kerana ia antara cabaran mental paling sukar pernah saya hadapi.

“Saya terpaksa bermain secara defensif pada satu tahap tetapi dalam masa sama tidak mahu terlalu berhati-hati kerana mahu kekalkan permainan sendiri, dan di situlah saya bergelut hujung minggu ini,” kata Korda.

Walaupun sempat melakukan dua bogey termasuk tiga putt di lubang ke-12, Korda bangkit dengan dua birdie berturut-turut di lubang ke-13 dan 14 untuk memastikan kejuaraan kekal dalam genggamannya.

Kemenangan itu turut menebus kekecewaan selepas beberapa kali sekadar naib juara musim ini, selain menyaksikan pemain Thailand, Jeeno Thitikul terlepas peluang mempertahankan status No.1 dunia selepas tersingkir awal.

“Bagi saya, berada dalam kelompok terakhir setiap minggu tetapi gagal menamatkannya dan akhirnya berjaya dalam kejohanan utama, ia benar-benar berbaloi,” katanya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN