KUALA LUMPUR: Keputusan yang dibuat oleh 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO di Negeri Sembilan adalah keputusan mereka sendiri.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai rancangan dan keputusan 14 ADUN itu untuk menarik sokongan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Beliau turut menghormati keputusan perhubungan UMNO negeri, namun akan membincangkan di peringkat Majlis Tertinggi (MT).
“Kepimpinan UMNO serta BN akan meneliti keputusan yang mereka lakukan. Dan kita akan melihat bahawa apakah implikasi politik yang akan dijangkakan berlaku daripada keputusan yang mereka telah umumkan,” katanya ketika ditemui selepas wawancara eksklusif di sini, semalam.
Menjelaskan tindakan 14 ADUN BN yang menarik sokongan terhadap Aminuddin, Ahmad Zahid berkata, ia disebabkan kenyataan Aminuddin yang menyentuh institusi adat.
“Soal yang diberitahu kepada saya ialah apabila Menteri Besar Negeri Sembilan yang mengeluarkan kenyataan mengenai institusi adat dan undang-undang tubuh negeri berkenaan.
“Inilah yang mungkin menyebabkan ADUN-ADUN daripada parti kami membuat tindakan sebegitu,” katanya.
Dalam hal ini, beliau akan mengadakan pertemuan dengan ADUN-ADUN BN Negeri Sembilan dalam masa terdekat.
Ditanya adakah keputusan tersebut menjejaskan hubungan dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan, Ahmad Zahid berkata, pihaknya akan meneliti perkara itu.
“Kita melihat semua aspek dan di dalam perkara ini (hubungan dengan PH), kita akan meneliti,” katanya.
Malah, Ahmad Zahid turut menjelaskan beliau dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mengadakan pertemuan bagi membincangkan kemelut yang berlaku. – UTUSAN










